PPBM Kedah Nafi Diri Golongan "Kecewa" Dalam UMNO

ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Kedah menafikan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mendakwa ahli UMNO yang menyertai parti baru itu terdiri dari golongan yang "kecewa".

Penyelaras PPBM bagi Parlimen Alor Setar, Abu Osman Awang berkata, tidak ada apa-apa yang diminta atau jawatan yang dikejar ketika mereka di dalam UMNO dulu, sekaligus mendakwa kenyataan Ahmad Bashah itu tidak seperti didakwa.

"Menteri Besar itu kawan kita.. bayang kita pun dia kenal, kita pun kenal bayang dia. Kami kecewa apa? Kami tidak pernah minta apa-apa, kami kecewa pada pucuk pimpinan di atas sana dalam hal mentadbir negara saja. Untuk kecewa pada diri sendiri tidak ada.

"Saya sendiri pun tak pernah bertanding untuk jawatan-jawatan dalam parti, tak pernah pun minta apa-apa dari parti untuk diri sendiri. Nak kecewa apa? Kita bukan nak terpilih jadi calon pun," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif di sini, hari ini.

Ahmad Bashah yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri sebelum ini mendakwa rata-rata ahli yang menyertai PPBM dikenal pasti latar belakang mereka dan merupakan golongan yang sering "kecewa" dalam UMNO.

Selain itu, Menteri Besar itu mendakwa mereka sering mencetus kontroversi mewujudkan masalah dalaman parti dan kecewa setelah gagal mendapat jawatan, termasuk tidak mendapat perhatian di dalam parti tersebut.

Mengulas mengenai jumlah Dun yang bakal ditandingi PPBM di Kedah, Abu Osman menjelaskan perkara tersebut diserahkan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk ditentukan kemudian.

"Saya tak pasti berapa Dun kita akan bertanding di Kedah nanti, saya rasa yang itu kita serah pada pucuk pimpinan yang tentukan. Kita turut saja," jelasnya.

Namun begitu, bekas ahli Semangat 46 itu menegaskan keyakinan beliau berada di tahap 80 peratus bahawa pihak pembangkang akan menguasai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kedah.

"Saya amat yakin, melihat pada sokongan dan sambutan yang PPBM terima hingga ke hari ini, kami pembangkang akan menang pada PRU ke-14 nanti, 80% kami akan menang," ujarnya, yakin dapat merampas tampuk pentadbiran kerajaan negeri di Kedah.

Walau bagaimanapun, Abu Osman mengakui bahawa PPBM di Kedah kini memberi fokus mengumpul seramai ahli berdaftar di negeri itu dan belum lagi melakukan sebarang persediaan bagi menghadapi PRU ke-14.

"Sehingga hari ini, kita ada lebih dari 2,000 ahli yang mendaftar di parlimen Alor Setar. Kita fokus keahlian saja dulu. PRU ke-14 kita serah pada pucuk pimpinan parti," katanya.

Jelasnya, perancangan dan persediaan PRU ke-14 diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan PPBM untuk ditentukan. -Kedahnews.com