PPBM, PAN Perlukan DAP Untuk Kekal Relevan


ALOR SETAR - Dua parti serpihan UMNO dan PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) sememangnya amat memerlukan DAP untuk kekal relevan di dalam landskap politik negara.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Martadha Mohamad berkata, kedua-dua parti berkenaan perlukan dokongan dari DAP bagi membolehkan mereka mendapat undi dari golongan bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"Walaupun (Tun Dr) Mahathir dan (Tan Sri) Muhyiddin ketika di dalam UMNO dulu dilihat sebagai 'ultra nasionalis', namun kini mereka dalam realiti sebenar memerlukan DAP untuk meraih sokongan dari golongan bukan Melayu.

"Begitu juga dengan PAN, di mana meskipun mendapat sokongan dari golongan profesional dan bekas penyokong PAS bandar, namun mereka juga perlukan pengaruh DAP bagi meraih undi.

"Kerana itu, mereka kini sanggup sepentas dengan pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan sebagainya," jelas beliau ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau menjangkakan bahawa PPBM dan PAN tidak akan memberi kesan yang signifikan pada PRU ke-14 nanti.

"Kedua-dua parti itu masih baru dan belum jelas dengan hala tuju serta matlamat mereka. Walaupun mempunyai satu titik persamaan iaitu menjatuhkan Perdana Menteri, namun jika matlamat itu berjaya dipenuhi, apa pula selepas itu?

"Dengan hanya memiliki satu titik persamaan saja, ia tidak menjelaskan apa-apa dari sudut pentabdiran kerajaan," ujar bekas Dekan Fakulti Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

PPBM dan PAN sebelum ini dilihat menjalin hubungan yang baik dengan pimpinan DAP setelah "bercerai" dari UMNO dan PAS bagi membentuk satu gabungan baru pakatan pembangkang, khususnya menjelang PRU ke-14.

Namun baru-baru ini wujud ketegangan berkenaan calon Perdana Menteri dari pakatan pembangkang itu di mana DAP, PKR dan PAN berkeras mahukan Dato' Seri Anwar Ibrahim dikekalkan sebagai calon Perdana Menteri, berbanding Muhyiddin yang disebut Tun Dr Mahathir dalam satu kenyataan di London. - Kedahnews.com