PPBM Suruh Orang Baling Jatuhkan Azeez Rahim

BALING - Ketua Pemuda Baling, Mohd Amin Mohd Noor dinasihati agar lebih bijak berpolitik dan bukannya dijadikan alat berkepentingan individu lain.

Bekas Adun Kupang penggal 2004 hingga 2008, Datuk Ismail Abu Bakar berkata, sidang media yang dilakukan oleh Mohd Amin Isnin lalu dilihat lebih berunsurkan tuduhan liar dan terdesak.

Menurutnya, Ketua Pemuda Baling itu juga sanggup menggunakan politik wang semata-mata mahu mempertahankan pihak lain.

Beliau berkata, Mohd Noor perlu lebih banyak belajar sekiranya mahu berjaya dalam dunia politik.

“Dia kena lebih banyak belajar bagaimana buat sidang media, bukannya melulu.

“Jika dia boleh bawa belia dalam 50 hingga 60 orang  dalam sidang media, pihak pembangkang pun boleh buat macam tu, malah jumlahnya lebih dari itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bayu Permai, di sini, kelmarin.

Menyifatkan Mohd Noor masih belum matang berpolitik, Ismail berkata, Mohd Noor tidak sepatutnya menempelak pihak-pihak yang mengkritik kepimpinan ketua bahagian, sebaliknya perlu bertindak menasihati pemimpin tersebut memperbetulkan keadaan.

“Sepatutnya Mohd Noor bangkit untuk mengkritik dan menasihati ketua bahagian agar memperbetulkan keadaan, supaya tidak menyogok masyarakat Baling, namun apa sebaliknya  dia sanggup berikan sokongan hingga sanggup mengeluarkan kenyataan memperlekehkan bekas ketua bahagian yang lama.

“Bersatu Bahagian Baling yang baru ditubuhkan ini sasarannya bukan ketua pemuda, bukan ketua puteri, sasaran kita hanya kepada Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim supaya beliau tidak menjadi Ahli Parlimen Baling, sasaran kita juga kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut mengajak Mohd Noor untuk bersama-sama menjatuhkan Abdul Azeez pada PRU 14.

“Mengapa kita orang Baling mahu bersengketa semata-mata mahu mempertahankan pemimpin dari luar, Mohd Noor perlu bijak dalam kancah berpolitik.

“Sama-samalah dengan parti Bersatu walaupun berada dalam pemuda Umno, kita sama-sama tolak Abdul Azeez supaya Mohd Noor menjadi pemimpin di Baling. Jika Mohd Noor masih kekal menyokong Abdul Azeez walaupun terpalit pelbagai masalah, sampai bila Mohd Noor boleh jadi pemimpin?” katanya.

Ismail Abu Bakar tanpa berselindung turut mengakui akan ada lebih banyak kejutan bakal berlaku dalam Umno Baling.

Sumber: Sinar Harian