PPBM Tak Mungkin Dapat Tandingi UMNO - Annuar Musa


ALOR SETAR - Parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan dapat bertanding 100 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti, sekaligus membuktikan parti itu tidak akan mampu menandingi atau mengambil alih kedudukan UMNO di mata rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak mungkin PPBM dapat menggantikan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu kecuali DAP dan parti pembangkang lain sanggup memberikan 100 kerusi parlimen tersebut untuk ditandingi parti baru itu pada PRU nanti.

"Tidak mungkin. Kecuali DAP dapat mengisytiharkan bahawa PPBM akan diberi bertanding 100 kerusi, adakah mereka akan buat begitu? Mereka takkan mungkin (berbuat begitu). PPBM takkan dapat bertanding 100 kerusi. Takkan dapat mengambil alih tempat UMNO.

"Adakah UMNO akan kalah semua kerusi? Jawabnya, tidak. Sebab rakyat negara ini telah biasa dengan soal kemelut politik yang berpunca daripada perpecahan. Dalam sejarah politik negara kita, parti yang lahir daripada perpecahan tidak bertahan lama. Parti yang lahir kerana individu tidak bertahan

"Sejarah politik negara kita, penubuhan parti kerana pertelingkahan bukan merupakan satu jawapan kepada keperluan politik yang stabil dalam sebuah negara macam Malaysia," tegas beliau kepada media sejurus selepas berucap di majlis Himpunan Jentera Penerangan UMNO Kedah Mencapai 2314 di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon, di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Annuar turut menegaskan bahawa parti-parti pembangkang masih lagi tidak stabil dengan hala tuju yang kucar-kacir melambangkan huru-hara pakatan mereka, namun tidak teragak-agak "menjual angan-angan" retorik mereka kepada rakyat.

Jelas beliau, sejarah dan budaya politik di Malaysia telah membuktikan bahawa parti-parti yang tercetus dari pergaduhan dalaman tidak akan berjaya, malah akan terkubur apabila tiba masanya tidak lagi mendapat sokongan rakyat.



"Tidak mungkin. Kerana mereka masih lagi dalam situasi cuba mencuba. Sedangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah melalui berpuluh-puluh tahun untuk mencapai persefahaman yang jitu, itu bukan mudah.

"Adakah DAP nak mengorbankan kerusi parti DAP untuk parti baru? Kerusi-kerusi di bawah DAP, PKR dan parti di bawah Pakatan Harapan dia takkan bagi pada orang lain, jadi kerusi yang berbaki itu ada berapa? Nak dikongsikan dengan berapa parti?

"Lagi pun, sejarah menyatakan kalau kerjasama itu hanya kerana ada 'common enemy', perbalahan yang lebih besar akan terjadi selepas itu. Adakah rakyat Malaysia nak mengorbankan untuk mengambil satu alternatif yang belum menjanjikan apa-apa?

"Kalau pun sekarang ini Tun Mahathir mahu memainkan peranan, adakah mereka berani mengisytiharkan bahawa kerajaan itu adalah kerajaan pimpinan dan arahan Dr Mahathir? Atau pun siapa?

"Sebab itu saya kata pakatan pembangkang baru di peringkat angan-angan, sedangkan UMNO dan BN sudah berada di alam realiti. Satu (pembangkang) berada di alam mimpi, satu (UMNO dan BN) berada di alam realiti," ujarnya tentang realiti sebenar pembangkang di negara ini.

Kata beliau, UMNO dan BN sebaliknya perlu terus bekerja keras dan berbakti kepada rakyat ekoran ia merupakan satu kelebihan serta keistimewaan yang tidak dapat ditandingi oleh parti-parti pembangkang hingga kini.

Ketua Penerangan UMNO itu sempat meninggalkan empat "resepi ampuh" untuk memastikan UMNO dan BN terus mendapat keyakinan dari rakyat pada PRU ke-14 nanti.


Kata beliau, seluruh warga UMNO wajib memberikan solidariti terhadap parti dan kepimpinan yang dipilih secara demokrasi parti, dan meningkatkan santapan rohani dengan memahami jiwa perjuangan parti yang perlu tertanam di jiwa para pejuang agama, bangsa dan negara.

"Bukan projek, bukan soal jawatan atau kedudukan," tegas beliau.

Selain itu beliau menegaskan tentang perlunya meningkatkan tarbiah perjuangan parti dengan membina mentaliti yakin dengan kemenangan yang bakal dicapai oleh parti dan membina strategi yang tepat dan berkesan untuk memastikan kemenangan BN pada PRU ke-14 nanti.

Annuar petang tadi berucap di depan lebih 2,500 Ketua UMNO Bahagian, Ketua-Ketua Penerangan parti, kepimpinan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kedah di majlis yang dirasmikan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Paduka Md Rozai Sapian.

Md Rozai mewakili Pengerusi Badan Perhungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang difahamkan kini sedang mengiringi Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah ke luar negara. -Kedahnews.com