ALOR SETAR - Meskipun baru ditubuhkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yakin parti itu mampu menewaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bakar Bata pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.
Ketua Penyelaras PPBM bagi Parlimen Alor Setar, Abu Osman Awang berkata, PPBM mampu menguasai 80 peratus berbanding Barisan Nasional (BN) dari keseluruhan jumlah undi di Dun yang menjadi kubu kuat BN itu.
"Kalau dulu Menteri Besar menang dengan majoriti lebih kurang 800 undi... Waktu itu UMNO kuat mempertahankan beliau, tapi hanya mampu dapat (majoriti) 800 undi lebih saja. Sekarang ni ramai di kalangan ahli-ahli dan jawatankuasa di peringkat cawangan yang menyertai PPBM, kebarangkalian 40 peratus undi pun beliau sudah tidak senang duduk dah.
"Saya jangka beliau hanya 40 peratus saja dari jumlah undi di Dun berkenaan kali ni. Itu pun sudah cukup tinggi kita. Saya rasa tak sampai.
"Kalau PPBM bertanding di situ saya yakin kita boleh dapat 80 peratus dari keseluruhan undi Dun itu," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, hari ini.
Jelas Abu Osman, jangkaannya itu adalah berdasarkan realiti sambutan hangat yang diterima parti baru berkenaan yang kini mencecah lebih 2,000 keahlian di parlimen tersebut sejak PPBM ditubuhkan secara rasmi.
Beliau sendiri meluahkan rasa terkejut melihat ramai anak muda di parlimen itu amat berminat menyertai PPBM.
"Saya berkata begitu sebab kita pertamanya ada ramai pengundi anak muda dan kedua di kalangan orang-orang tua pun kita ada ramai pengundi," katanya.
Jelas Abu Osman, sekiranya dilihat pada perkiraan majoriti yang diperoleh Ahmad Bashah, dibandingkan dengan penyertaan keahlian PPBM dan sokongan yang diterima parti itu dari golongan atas pagar, partinya amat berpotensi besar untuk menang.
Malah katanya, PPBM optimis bahawa pihak pembangkang di Kedah berpeluang besar untuk merampas tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri dari BN pada PRU ke-14 kali ini.
"Saya yakin kami mampu ambil alih Kedah dari BN pada PRU ke-14 nanti. 80 peratus kami mampu kalahkan BN," tegasnya dengan yakin. - Kedahnews.com