Projek RM500 Juta Ke Atas Dipantau Ketua Audit, SPRM - KSN

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mencadangkan projek kerajaan bernilai RM500 juta dan ke atas perlu melibatkan penyertaan Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras penyelewengan dan rasuah.

Beliau berkata melalui cadangan itu, Ketua Audit Negara dan Timbalan Pengarah SPRM akan hadir dalam mesyuarat sebagai exco bagi projek-projek kerajaan, termasuk Projek Aliran Transit Massa (MRT).

Katanya penglibatan dua agensi itu dalam projek kerajaan bernilai RM500 juta ke atas itu diperlukan untuk tindakan proaktif untuk mengelak ketirisan dan penyelewengan dalam perkhidmatan awam.

“Terdapat 1.6 juta penjawat awam di negara ini dan jangan kerana beberapa orang yang melakukan perkara tidak berintegriti ini, merosakkan nama baik perkhidmatan awam serta imej negara,” katanya ketika berucap di Istiadat Penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam Intan (DPA) 2016 kepada 292 graduan di sini semalam.

Menurutnya, terdapat 30 penjawat awam didapati melakukan penyelewengan dan rasuah oleh SPRM sejak 2010.

Ali turut mengucapkan tahniah kepada SPRM di atas kejayaan mereka merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri Sabah yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

“Saya menggalakkan SPRM untuk terus mencari nama-nama penjawat awam yang merosakkan kredibiliti dan imej perkhidmatan awam.

“Kerajaan mahu warga perkhidmatan awam yang berdedikasi dan melaksanakan tanggungjawab secara ikhlas untuk membantu negara mencapai status negara maju menjelang 2020,” katanya.

Dalam pada itu, Ali juga menasihatkan para penjawat awam hidup mengikut keperluan dan mengikut pendapatan dan bukannya terlalu terikut-ikut untuk menjalankan kehidupan secara mewah.

“Kita perlu ada sifat integriti di hati dan minda, kita sebagai satu pasukan perlu lawan sikap mengambil rasuah. Kerjalah penuh integriti agar dapat menjaga nama baik keluarga dan negara,” katanya.

“Saya minta ahli keluarga agar kenali sifat-sifat anak masing-masing. Sekiranya mereka membawa balik kemewahan berlebihan ke rumah, tolong soal di mana mereka mendapat kemewahan itu dan sekiranya tidak berpuas hati, laporkan kepada SPRM,” kata Ali.

Pada majlis itu, Ali juga menyampaikan Anugerah Felo Intan 2016 kepada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bagi menghargai jasa beliau dalam pelbagai bidang seperti pengurusan kewangan, perdagangan antarabangsa dan hubungan diplomatik. – BERNAMA