Protes Pengadil, Pemain Malaysia "Boikot" Final Takraw Raja Thai


BANGKOK – Perlawanan akhir Piala Raja Thai Kejohanan Sepaktakraw Sedunia ke-31 di ibu kota Thailand baru-baru ini dicemari dengan pengunduran secara mengejut oleh pasukan dari Malaysia.

Menurut laporan media tempatan, pemain Malaysia mula bertindak nekad menarik diri daripada aksi perlawanan akhir ketika menentang skuad tuan rumah Thailand selepas bermain hanya dalam regu pertama pada 23 Oktober.

Pihak Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memandang serius terhadap insiden memeranjatkan tersebut dan sedang menyiasat punca sebenar yang menyebabkan pasukan Malaysia menarik diri secara tiba-tiba.

Bagaimanapun ramai percaya ia disebabkan rasa tidak puas hati oleh sesetengah pegawai pasukan dan pemain Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terhadap beberapa keputusan berat sebelah dibuat pengadil dari Vietnam.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh ISTAF pada 28 Oktober, insiden itu dikhuatiri boleh memalukan tuan rumah Thailand yang kebetulan berkabung susulan kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober.

Kejohanan itu dibenarkan diadakan di Thailand meskipun seluruh rakyat negara itu masih berkabung. Perlawanan akhir malah disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan dirasmikan salah seorang wakil keluarga diraja.

Selain kira-kira 3,000 penonton penuh sesak membanjiri sebuah stadium tertutup di Bangkok, perlawanan akhir kejuaraan tersebut turut disaksikan oleh para pegawai kanan sepaktakraw dari pelbagai negara terlibat.

Menurut kenyataan media ISTAF itu lagi, insiden yang mengecewakan berkenaan memang tidak diduga sama sekali. Kejohanan bermula 17 Oktober lalu dan berakhir seminggu kemudian disertai 34 buah negara dari seluruh dunia.

Menurut Perlembagaan ISTAF dan Prosedur Siasatan Disiplin, sebuah Lembaga Siasatan akan ditubuhkan oleh sekretariat ISTAF untuk menyiasat insiden tersebut sebelum memutuskan bentuk tindakan yang selanjutnya.

Semua pihak terbabit dalam insiden itu akan diminta untuk memberi keterangan. Hasil siasatan dan keputusan akan dimaklum kepada semua pihak terlibat selepas siasatan menyeluruh dijalankan. – Agensi