PRU 14: BN Kedah Yakin Menang Majoriti 2/3 DUN


ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) Kedah yakin mampu mengejutkan parti-parti politik pembangkang, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dengan mencapai kemenangan majoriti 2/3 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Setiausaha BN Kedah, Datuk Paduka Md Rozai Sapian berkata, melalui strategi politik yang mantap dan perancangan-perancangan yang disusun rapi serta bakal dilaksanakan, BN yakin dapat mempertahankan kuasa di Kedah.

"Kita confident (yakin) kita akan dapat (majoriti) 2/3," tegas beliau ketika ditemui dalam program Himpunan Jentera Penerangan UMNO Kedah Mencapai 2314 di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon, di sini, petang semalam.

Menurut Md Rozai yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri itu, program yang diadakan tersebut merupakan salah satu dari program-program yang telah dirancang untuk memantapkan persediaan parti bagi menghadapi PRU ke-14.

"Ini merupakan program pertama kita. Kita ada lebih daripada 21 perancangan (penerangan)," katanya yang merasmikan program berkenaan bagi mewakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa hadir memberi ucaptama di program tersebut, menjelaskan tentang isu-isu semasa khususnya pepecahan yang berlaku di dalam parti itu membabitkan penubuhan parti baru, PPBM.

Beliau turut mendedahkan beberapa perkara sebenar yang terjadi di sebalik tabir ketika bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, khususnya berkaitan kesetiaan kepada pucuk pimpinan dan "konspirasi politik dalaman" ketika itu.

BN Kedah yang diketuai Ahmad Bashah pada 2013 lalu berjaya merampas kembali tampuk pentadbiran kerajaan negeri dari PAS dengan kemenangan majoriti mudah.

PPBM yang merupakan parti serpihan UMNO baru-baru ini mendakwa parti baru itu mampu menguasai kerajaan negeri Kedah hasil gabungan mereka bersama Pakatan Rakyat pada PRU ke-14 kelak. -Kedahnews.com