CANTIK sekali lenggok si ikan kelisa dalam akuarium. Merdu sekali kicauan si murai dalam sangkar. Indah sekali kembangan mawar dalam pasu. Namun hati selalu tertanya, apakah salah si ikan, si murai dan sang mawar sehingga terkurung.
Alangkah baiknya jika sirip si kelisa dibiarkan bebas menguak air meredah sungai. Alangkah baiknya jika kepak si murai dibebaskan membelah angkasa. Alangkah baiknya jika akar sang mawar dibiar bebas menjalar ke dalam bumi.
Alhamdulillah! Allah tahu keperluan makhluk ciptaan-Nya. Manusia dibentuk dalam tiga komponen unik, iaitu badan halus (emosi), badan kasar (jasmani) dan rohani. Semua komponen ini perlu seimbang dengan makanannya.
Emosi, makanannya hiburan, hobi atau kegembiraan. Jasmani, makanannya vitamin dan riadah. Rohani, makanannya amal ibadat dan ilmu agama. Semuanya perlu seimbang.
Jika hanya tertumpu pada aspek jasmani tapi rohaninya kosong, apa bezanya kita dengan bukan Islam? Rohani tanpa jasmani pula seumpama si musafir yang hilang kenderaan ke tempat tujuan. Sudahnya ibadat menjadi sukar apabila kaki dipotong kerana kencing manis atau penyakit kronik lain.
Jika tubuh dan rohaninya sihat, tapi emosi selalu terganggu dek tekanan hidup, silap hari bulan produktiviti kerja dan ibadat pun boleh merosot. Orang beriman terbaik mengambil kira kesihatan semua komponen tubuhnya itu.
KEPERLUAN MENGISI HOBI
Bolehkah memelihara ikan dan burung sebagai hobi? Apa hukumnya mengurung akar sang bunga daripada menjalar membelah bumi? Jawabnya, semua makhluk ciptaan Allah ditundukkan untuk kegunaan manusia asal ditunaikan haknya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.” Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui,” (al-A’raf[7:32]).
Ia juga boleh difahami daripada teguran Rasulullah SAW kepada sahabatnya yang terkenal warak (Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As) yang menyebut tentang menunaikan hak kepada diri sendiri dan isterinya. Antara hak yang diperlukan manusia adalah makanan emosi:
“Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As berkata Nabi SAW bersabda kepadanya: “Wahai Abdullah, diceritakan orang kepadaku, bahawa engkau berpuasa terus setiap hari dan selalu bangun solat malam.” Jawabku, “Benar, Wahai Rasulullah! Aku melakukannya.” Rasulullah menyambung: “Janganlah begitu, sebaliknya berpuasa dan berbukalah, bangunlah solat dan tidurlah juga kerana sesungguhnya dirimu mempunyai haknya, matamu juga mempunyai haknya dan isterimu juga mempunyai haknya,” - Sahih Bukhari.
Keperluan emosi yang mahu cantik dan berhias turut disebut dalam ayat lain:
“Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Dia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya,” (al-Nahl [16:8]).
Nabi Sulaiman a.s. sendiri pun menyapu mesra kuda perangnya. Dalam bicara emosi, sapu adalah satu terapi penenang jiwa yang boleh menggembirakan jiwa:
“Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi tangkas semasa berlari. (Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: “ Sesungguhnya aku mengutamakan kesukaanku kepada (kuda pembawa) kebaikan kerana mengingati Tuhanku (janji Allah tentang kepentingan jihad dan kemuliaan kuda sebagai alat berjihad), sehingga (matahari) melindungi dirinya dengan tirai malam”. (Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya): “Bawa balik kuda itu kepadaku”; maka baginda pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor),” (Sad[38:30-33]).
KESIMPULAN
Memenuhi hak emosi untuk menenangkan jiwa dengan haiwan peliharaan tidak ditegah oleh agama, asal sahaja tiada unsur menzalimi haiwan tersebut. Ia dijelaskan oleh seorang sahabat nabi:
“Pada suatu hari Abdullah bin ‘Umar menemui Yahya bin Sa’id dan pada waktu itu seorang kanak-kanak dari Bani Yahya sedang menambat seekor ayam untuk dijadikan sasaran melontar. Ibn ‘Umar melepaskan ikatan si ayam dan membawa si ayam bersama kanak-kanak itu bertemu Yahya. (Ibn ‘Umar) lalu berkata: “Kamu mesti menghalang kanak-kanakmu daripada menjadikan burung ini sebagai sasaran lontaran yang (boleh) membunuhnya kerana aku pernah mendengar Rasulullah SAW melarang kita dari menjadikan apa sahaja binatang atau selainnya sebagai sasaran lontaran untuk membunuh,” - Sahih Bukhari.
Dalam sebuah hadis lain (yang dihukumkan sebagai hadis yang lemah oleh sebahagian ulama), Rasulullah SAW mengingatkan:
“Sesiapa yang membunuh seekor burung secara sia-sia (tanpa sebab), (si burung) akan meninggikan suaranya (mengadu) kepada Allah pada hari kiamat kelak sambil berkata: Wahai Tuhanku, si fulan telah membunuhku secara sia-sia dan tidak membunuhku untuk apa-apa manfaat,” - Sunan al-Nasa’i, Musnad Ahmad.
Al-Quran adalah Kalam Allah yang maha sempurna. Islam pula sebuah agama sempurna yang selari dengan fitrah manusia. Jika manusia memerlukan makanan untuk ketiga-tiga komponen tubuhnya, Islam membentuknya dalam acuan yang betul dan tepat. Rugi sekali bagi manusia yang mencari kekenyangan fizikal, rohani dan emosi daripada hidangan selain Islam.
Keperluan emosi yang mahu cantik dan berhias turut diharuskan.
Manusia terdiri daripada tiga komponen unik - badan halus (emosi), badan kasar (jasmani) dan rohani.
Sumber: Utusan