BANGKOK – Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej disahkan mangkat dalam usia 88 tahun, menurut agensi berita Xinhua yang memetik pengesahan daripada Biro Kerabat Diraja di sini hari ini.
Baginda dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Siriraj pukul 3.52 petang (4.52 petang waktu Malaysia) sebelum pengumuman rasmi daripada pihak istana Thailand dikeluarkan kepada media.
Punca kemangkatan namun tidak didedahkan. Pemerintah Thailand itu merupakan raja paling lama memerintah di dunia, sebenarnya telah lama gering dan menerima rawatan di hospital berkenaan sejak beberapa tahun.
Lewat Rabu, Biro Kerabat Diraja mengumumkan bahawa tekanan darah baginda didapati turun sekali lagi manakala denyutan nadi bertambah laju dan kandungan asid dalam darah pula meningkat dengan lebih tinggi.
Bhumibol yang menaiki takhta sejak 1946 amat dihormati semua lapisan rakyat dan disifatkan sebagai tokoh selain mampu menyatukan rakyat Thailand susulan perpecahan teruk akibat perbezaan fahaman politik.
Pada usia menginjak hampir seabad, baginda atau digelar Rama IX berjaya memecah rekod pemegang takhta paling lama memerintah dalam sejarah Thai, iaitu selama 70 tahun sejak pertabalan.
Bhumibol merupakan raja kesembilan dalam sejarah dinasti Chakri yang berusia 234 tahun dan menaiki takhta susulan kemangkatan kakandanya, Ananda Mahidol ditembak secara misteri.
Diputerakan di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat pada 1927, baginda gemar muzik jazz dan bermain seksefon serta mahir bahasa Perancis, Greek dan Latin kerana pernah menetap di Switzerland.
Sepanjang pemerintahan baginda selama tujuh dekad, Thailand menyaksikan 19 kali rampasan kuasa tentera termasuk 12 yang berjaya; sejak sistem monarki mutlak dimansuhkan pada 1932 lalu.
Dalam pada itu, stesen penyiaran antarabangsa BBC melaporkan, satu mesyuarat tidak berjadual Kabinet Thailand diadakan jam 5 petang disusuli pengumuman pihak istana pada pukul 6 petang.
Kemangkatan baginda bakal menyaksikan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn, berusia 64 tahun dan anak lelaki tunggal Bhumibol dengan Permaisuri Sirikit menaiki takhta seterusnya.
Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn (kanan) bersama isteri dan anaknya |
Sementara itu, rakyat Thailand dilaporkan sanggup menukar gambar profail pada laman Facebook dengan gambar nama mereka sendiri beserta ayat ‘Sayangkan Raja’ atau ‘Daulat Tuanku’.
Mereka turut menghiasi akaun media sosial masing-masing dengan corak hati berwarna kuning yang berlatar belakang warna merah jambu sebagai menzahirkan sokongan terbuka.
Ini kerana, warna kuning melambangkan warna rasmi keluarga diraja dan juga warna tradisional bagi hari Isnin dalam kepercayaan Thai, yang merupakan hari lahir Bhumibol. – Agensi