Raja Mangkat, Baju Hitam Laris Di Thailand Tanda Berkabung


BANGKOK – Pakaian berwarna hitam menerima permintaan tinggi dan dilaporkan kehabisan stok selepas rakyat Thailand berpusu-pusu membelinya untuk tanda berkabung sejak minggu lalu.

Ia susulan permintaan pihak kerajaan supaya orang ramai berkabung selama setahun atas kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadel dalam usia 88 tahun pada 13 Oktober lalu setelah bersemayam di takhta selama tujuh dekad.

Kedai-kedai pakaian di seluruh negara mula meletakkan pakaian hitam khasnya baju T di rak hadapan ekoran ia menjadi barangan paling laris ketika ini sehingga menyaksikan ramai pelanggan berebut-rebut mahu memilikinya.

“Semua baju-T warna hitam habis dijual sejak pagi. Kami hanya ada pakaian putih untuk mula dijual pada waktu tengah hari,” kata seorang pekedai, Pornthep Charoenkulsak yang dipetik oleh agensi berita antarabangsa DPA.

Selain hitam, pakaian berwarna putih dan warna seakan-akan gelap yang lain sebenarnya masih boleh digunakan lagi untuk tujuan berkabung untuk mengelakkan peniaga cuba menaikkan harga susulan permintaan luar biasa.

Ini menyebabkan ada peniaga didapati menawarkan perkhidmatan dye atau mencelupkan baju pelanggan terus kepada warna hitam kerana kos lebih murah malah tetap tahan lama sebagai alternatif kepada pakaian baharu.

“Perniagaan kami terjejas ke­rana kekurangan bahan mentah untuk memenuhi permintaan,” kata seorang jurucakap kilang pakaian terkenal, Thai Textile Industry Public Company Limited di Bangkok kepada wartawan DPA.

“Permintaan tinggi untuk tekstil hitam dan putih bukan hanya untuk dijadikan pakaian tetapi juga sebagai barang perhiasan peribadi,” tambahnya lagi. Kain hitam juga banyak digunakan untuk menghiasi potret Bhumibol.

Selain corak kosong, baju yang memaparkan angka sembilan dalam tulisan bahasa Thai dengan merujuk kepada gelaran rasmi baginda sebagai Rama IX turut popular sebagai tanda rakyat menzahirkan perasaan sedih mereka.

Di samping itu, semua stesen televisyen tempatan menyiarkan program masing-masing dalam warna hitam putih selama sebulan dan menggantikan rancangan hiburan kepada dokumentari mengenai kisah hidup raja mereka.

Bagaimanapun dalam pada itu, sebahagian individu di Thailand waima pelancong asing juga dikecam masyarakat tempatan kerana tidak berpakaian hitam untuk menunjukkan ke­setiaan kepada mendiang raja negara tersebut.

Pegawai-pegawai kerajaan Thai­land namun meminta orang ramai agar bertenang dan memahami keadaan mereka yang kemungkinan besar tidak mampu untuk membeli pakaian berwarna hitam kerana masalah kewangan sendiri.

“Mereka ini malah sebenarnya boleh memakai sebarang simbol perkabungan lain seperti reben warna hitam atau tali leher bentuk kupu-kupu,” kata jurucakap kerajaan Thailand, Sansern Kaewkamnerd yang dipetik media.

Selain itu, premis pusat hiburan waima acara keramaian penduduk setempat turut membatalkan program mereka yang mengandungi pelbagai muzik rancak namun tetap menjalankan perniagaan masing-masing seperti biasa.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha memaklumkan Thailand mesti berkabung sekurang-kurangnya 15 hari bagi memperingati pemergian Bhumibol sebelum pengganti menaik takhta ditabalkan sebagai raja baharu.

“Mengenai isu pengganti, seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara, rakyat di Thailand dan luar negara tidak perlu bimbang atau prihatin,” kata beliau kepada para wartawan selepas satu mesyuarat kabinet di sini.

“Selepas berkabung sekurang-kurangnya 15 hari, masanya sesuai untuk menguatkuasakan seksyen 23 perlembagaan negara,” menurut Prayuth, sambil merujuk kepada syarat-syarat berkaitan istiadat naik takhta dan pertabalan raja.

Beliau pada minggu lalu ada menyatakan bahawa pertabalan Putera Mahkota Vajiralongkorn, anakanda lelaki tunggal Bhumibol akan diadakan secara rasmi selepas jenazah bapanya disemadikan. – Agensi