Rampasan RM114.5 Juta Cuma Kecil Sebenarnya... - CAPS

KOTA KINABALU – Persatuan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) percaya kes rasuah membabitkan rampasan bernilai RM114.5 juta hanyalah sebahagian kecil daripada isu penyelewengan di negeri itu.

Presidennya, James Bagah berkata beliau percaya jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat pemeriksaan menyeluruh, akan ada banyak lagi yang terbongkar.

“Saya berpandangan mungkin ini baru sebahagian kecil daripada yang sebenarnya. SPRM perlu melaksanakan tanggungjawab tanpa pilih bulu dan pangkat,” katanya kepada Bernama.

James berkata demikian ketika mengulas kejayaan SPRM menahan empat individu, dua daripadanya merupakan masing-masing pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan, bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa membabitkan projek infrastruktur di Sabah.

Selain wang tunai sebanyak RM114.5 juta, SPRM turut merampas barang kemas bernilai RM3.64 juta, kenderaan mewah yang belum diketahui nilainya serta pelbagai barangan berharga lain daripada kesemua suspek yang kini direman seminggu.

Menurut James, kejayaan SPRM melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka merupakan hadiah kepada rakyat, khususnya pengguna kerana wang sebanyak itu sepatutnya digunakan untuk pembangunan demi faedah rakyat.

Beliau menyifatkan penyalahgunaan kuasa berkaitan projek infrastruktur bernilai berbilion ringgit merupakan rintangan kepada kelancaran pembangunan di Sabah.

“Bagi saya, kita perlukan integriti. Pegawai yang terlibat perlu dipantau secara menyeluruh dari awal bagi memastikan mereka bukan jenis rasuah. Kita lihat latar belakang ketaatan kepada agama mereka.

“Kita perlukan pegawai yang ada perasaan takut untuk melakukan penyelewengan,” katanya.

Menurut James, seorang pegawai atasan perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada orang bawahannya, bukan sebaliknya kerana kesannya tidak sihat kepada sesebuah organisasi atau agensi.

Justeru katanya, SPRM perlu mengambil tindakan tegas dan tidak memilih bulu serta berlandaskan prinsip tiada sesiapapun terkecuali atau boleh mengatasi undang-undang. -BERNAMA