Saya Pernah Kecewa, Kali Ini Saya Mahu Ke Final - Thiago Augusto


"SAYA pernah merasai kegagalan pada separuh akhir Piala Malaysia musim lalu. Musim ini saya mahukan kejayaan melangkah ke final."

Itu azam penyerang Kedah, Thiago Augusto yang akan turun menyelesaikan tugas dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Polis Diraja malaysia (PDRM) di Melaka Sabtu ini.

Augusto yang merupakan pemain pinjaman dari Felda United gagal membawa bekas pasukannya ke final musim lalu selepas skuad berkenaan tewas kepada Kedah.

Berikutan itu, pemain berusia 26 tahun dari Brazil berkenaan mahu memastikan dirinya beraksi di final Piala Malaysia kali ini.

Mengimbau kembali kekalahan kepada skuad hijau kuning musim lalu, menurutnya, dia merupakan pemain paling kecewa kerana terpaksa melupakan final walaupun berjaya menjaringkan gol.

Augusto ketika mewakili Felda United dan menentang Kedah dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.
"Sebab itu bila dapat kembali di separuh akhir musim ini saya ingin pastikan pasukan yang saya wakili dapat ke perlawanan akhir kerana saya juga akan merasai pengalaman final Piala Malaysia.

"Saya tidak pernah dan tidak akan kesal memilih pasukan Kedah musim ini walaupun hanya dapat bersama mereka sejak Jun lalu. Saya yakin ini adalah pasukan terbaik untuk saya mencipta kejayaan.

"Saya memang kagum dengan aksi barisan pemain Kedah kerana mereka tidak nampak mentah ataupun kurang keyakinan, inilah bezanya pasukan ini.

"Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe berjaya membimbing barisan pemain muda dengan baik selain mencipta keserasian antara import dan tempatan," katanya.

Tambahnya, dia turut kagum dengan semangat dan kesungguhan penyokong Kedah yang sentiasa mengiringi pasukan berkenaan di setiap stadium.

Jelasnya, semangat penyokong itu bukan sahaja membuat moral pemain tempatan meningkat tetapi turut dirasai pemain import sepertinya dan rakan-rakan lain.

"Saya percaya kami akan sekali lagi mendapat sokongan daripada penyokong di Melaka kerana apa yang saya tahu mereka telah merancang untuk memenuhi stadium demi pasukan Kedah," ujarnya bersemangat.

Sumber: mStar