Saya Tiada Kaitan Dengan KDN - Khairil Muzamil


KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman, 32, menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan pembantu peribadi kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed seperti yang tersebar di media sosial.

Khairil Muzamil berkata, beliau tidak pernah berkhidmat dengan jabatan atau agensi kerajaan kerana menjalankan aktiviti perniagaan secara sepenuh masa.

“Saya menafikan tuduhan jahat bahawa saya merupakan pegawai peribadi kepada Nur Jazlan.

“Saya tidak memegang apa-apa jawatan di dalam mana-mana kementerian mahupun agensi kerajaan lain. Saya adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan tiada sebarang rekod jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Baru-baru di Khairil Muzamil menjadi viral di media sosial yang mendakwa dirinya pembantu peribadi kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan di media sosial bahawa beliau memiliki senjata api, ahli perniagaan berasal dari Perak itu segera menafikannya.

“Saya memiliki syarikat kawalan keselamatan, bengkel kereta dan restoran. Jadi, senjata api tersebut bukan milik saya sebaliknya didaftarkan di bawah syarikat kawalan keselamatan yang berlesen mengikut prosedur polis dan Kementerian Dalam Negeri,” tegasnya.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh Khairil Muzamil: - Kedahnews.com

KENYATAAN MEDIA

Saya, Dato Khairil Muzamil Bin Abdul Rahman adalah sepupu kepada Mohd Akmar Asyraf Bin Ishak iaitu suami kepada Farah Nadia Binti Che Norudin. Menurut Perintah Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Saman No.: 10300-028-0604-2012 bertarikh 8.11.2012, hak jagaan Amanda Nerissa diberikan kepada Farah dan bekas suaminya, Mohd Adli Effendy diberikan hak lawatan, bersama dan bermalam dengan Amanda setiap 2 minggu sekali selama tempoh 5 hari.

Farah menghadapi banyak permasalahan setiap kali proses pemulangan dan pengambilan Amanda dari Adli. Melalui surat peguamcara syarie Farah bertarikh 21.9.2016 telah direkodkan apa yang telah dilakukan Adli semasa proses pemulangan pada 29.8.2016 di Starbucks Rawang. Adli telah memaksa Farah menandatangani borang pertukaran sekolah namun Farah enggan bersetuju sehingga berlaku pertengkaran. Isteri dan mak Adli yang turut hadir telah menyerang, menolak dan menumbuk bahagian kepala dan badan Farah kemudian telah merampas kembali dan melarikan Amanda. Farah telah membuat laporan polis berkenaan serangan fizikal tersebut dan kegagalan Adli memulangkan Amanda kepada Farah di Balai Polis Rawang pada hari yang sama.

Melalui surat yang sama Farah melalui peguam syarienya menuntut pemulangan Amanda dan mencadangkan proses pemulangan di Balai Polis Bandar Utama, Damansara pada 23.9.3016 jam 3.30pm demi menjaga keselamatannya daripada serangan dan tindakan agresif Adli. Selain itu dinyatakan berkenaan kegagalan Amanda ke sekolah semasa di bawah jagaan Adli sehingga pihak sekolah telah mengeluarkan surat amaran.

Adli melalui surat peguam syarienya bertarikh 23.9.2016 jelas lansung tidak menafikan kejadian yang berlaku pada 29.8.2016 dan menolak serta tidak mahu pemulangan dilakukan di Balai Polis Bandar Utama sebaliknya mahu proses pemulangan Amanda dilakukan di Hentian Bas, SK Bandar Utama.

Peguam syarie Farah terus menjawab surat tersebut pada hari itu juga dan Farah bersetuju proses pemulangan seperti yang dikehendaki Adli namun mengingatkan agar tiada kekerasan dibuat atau kata-kata kesat dikeluarkan oleh Adli seperti yang berlaku dalam proses-proses pemulangan sebelum ini. Farah telah pada 22.9.2016 iaitu sehari sebelum itu membuat satu laporan polis berkenaan proses pemulangan Amanda.

Pada 23.9.2016 saya telah dihubungi oleh Asyraf, sepupu saya untuk menemani beliau dan Farah bagi mengambil Amanda daripada Adli pada jam 3.30pm kerana Farah Nadia bimbang akan berlaku pergaduhan. Petang itu saya bersama isteri dan pemandu saya serta seorang pembantu peribadi saya menaiki kereta saya iaitu Toyota Vellfire Hitam manakala Farah dan suaminya Asyraf bersama seorang lagi sepupu saya menaiki kereta Farah. Ketika sampai saya dapati anak tersebut duduk seorang diri di atas tempat menunggu di hentian bas di depan SK Bandar Utama dan saya melihat isteri Adli duduk di dalam kereta mereka sambil memegang telefon bimbit seperti sedang membuat rakaman video.

Setibanya kami disitu isteri saya dan Farah bergegas pergi ke Amanda dan saya pula keluar dari kereta dan pergi berjumpa Adli untuk berbincang. Namun DALAM PERJALANAN Farah dan isteri saya membawa Amanda KE ARAH kereta saya, Adli tiba-tiba meluru ke arah Farah untuk menyerang Farah dan cuba merampas kembali Amanda YANG PADA KETIKA ITU BERADA DALAM DAKAPAN Farah tetapi ditahan oleh Asyraf. Apabila saya melihat Adli sudah mengangkat tangan untuk menumbuk Asyraf, saya bertindak menahan Adli. Ketika itu isteri dan Mak Adli datang ke arah kami menjerit-jerit dan Mak Adli memukul saya dan Asyraf dengan kasut.

Jelas sekali segala kekecohan yang berlaku adalah akibat tindakan agresif Adli yang merempuh dan menyerang Farah dan cuba merampas kembali Amanda. Walaupun saya dan pembantu saya Afiq serta Asyraf cuba untuk menarik Adli, namun dia terus berdegil untuk masuk ke dalam kereta saya dan cuba menarik Amanda dari dakapan ibunya, Farah. Provokasi dan tindakan agresif Adli, jeritan isterinya dan maknya yang sebenarnya telah mencetus kekecohan yang berlaku.

Adli tidak sewajarnya datang ke kereta saya untuk menyerang Farah kerana Amanda sudahpun dibawa oleh Farah ke kereta saya dan sepatutnya Adli boleh terus beredar. Tindakan Isteri Adli yang telah bersedia dengan telefon bimbit ditangan untuk merakam kejadian dan disusuli dengan tindakan Adli meluru dan merempuh untuk menyerang Farah lansung tidak membuat apa-apa tindakan provokasi jelas menunjukkan Adli telah merancang agar kekecohan ini berlaku dan mempunyai niat yang tidak baik.

Saya seterusnya menafikan tuduhan jahat Adli bahawa saya merupakan PA kepada Timbalan Menteri, Kementerian Dalam Negeri. Saya tidak memegang apa-apa jawatan di dalam mana-mana Kementerian mahupun agensi kerajaan yang lain. Saya adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan tiada sebarang rekod jenayah.

Saya juga menafikan sekeras-kerasnya segala fitnah jahat dan tuduhan yang tidak benar yang dilemparkan dan diterbitkan oleh Adli di mukabukunya pada 24.9.2016 dan saya telah mengarahkan peguam saya En Adnan Seman, Tetuan Adnan Sharida & Associates untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan dan membersihkan nama saya.

Saya ingin menegaskan sekaras-kerasnya di sini bahawa segala kenyataan dan tuduhan dibuat oleh Mohd Adli dan/atau bapanya di media sosial mahupun dalam apa jua bentuk ke atas saya adalah tidak benar, fitnah jahat dan berniat untuk memburuk-burukan dan menjatuhkan maruah dan reputasi saya disamping cubaan Adli dan/atau bapanya untuk meraih simpati orang ramai.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa saya cuba berbincang mencari jalan perdamaian demi kepentingan semua tetapi Adli dan ayahnya yang sebelum ini pernah meminta RM10,000 kemudiannya telah meminta RM200,000.00 pula yang perlu diserahkan pada hari semalam, 29.9.2016. Segala bukti tuntutan permintaan duit ini dalam simpanan saya.

Saya juga telah membuat beberapa laporan polis di atas tuduhan-tuduhan fitnah dan kenyataan-kenyataan yang tidak benar samada oleh Adli mahupun bapanya Mohd Zaki termasuk segala ugutan terhadap saya dimukabuku milik mereka samada oleh mereka sendiri mahupun rakan-rakan mukabuku mereka. Bapa Adli, Moh Zaki juga telah melanggar hak privasi saya dengan mendedahkan segala maklumat peribadi saya untuk tatapan umum di media sosial. Saya dan peguam saya sedang mengumpulkan segala maklumat penuh bagi memulakan tindakan saman sivil dan juga membuat laporan polis ke atas bapa Adli tersebut.

Akhir kata dari saya, menyedari tiada manusia yang sempurna namun InsyaAllah saya akan terus berjuang bagi membersihkan imej dan nama baik saya tentang isu ini dan untuk mendapatkan hak dan keadilan bagi semua kerana kita semua akhirnya akan berjumpa dan berhadapan dengan pencipta kita suatu hari nanti. Kepada Allah saya berserah.

30.9.2016
Dato Khairil Muzamil Bin Abdul Rahman