Seakan Ada Suara Berkata Berubahlah Untuk Kebaikan - Zarina Zainuddin

SEJAK akhir-akhir ini, pelakon senior Zarina Zainuddin sering dilihat memuat gambarnya manis bertudung litup di laman Instagram.

Perubahan imejnya itu ternyata membuatkan para peminat tertanya-tanya adakah pelakon cantik itu sudah berhijrah.

Zarina mengesahkan sudah bertudung sejak 30 September lalu.

Menurut Zarina, keputusan itu dibuat selepas dia merasakan seakan-akan ada ‘suara’ yang memintanya untuk berubah demi kebaikan.

“Entahlah, tiba-tiba apabila melihat anak-anak, terasa sayu di hati. Selama ini, ketika saya menunaikan solat, sukar untuk saya melakukannya dengan khusyuk. Bagaimanapun pada Subuh Jumaat itu (30 September), sewaktu solat, hati terasa sayu dan tiba-tiba pula saya menangis ketika sujud.

“Saat itu, seakan-akan ada suara yang berkata, berubahlah untuk kebaikan. Kemudian saya berdoa kepada Allah, kenapa saya tidak mendapat hidayah-Nya, apakah saya jahat atau adakah hati saya keras untuk mengikut suruhan-Nya? Sedangkan, saya sudah berasa semua kesusahan, kesenangan dan kebahagiaan yang Allah beri.

“Saya berdoa kepada Allah, saya tidak mahu apa-apa lagi kerana sudah serba cukup, mempunyai keluarga sempurna, anak-anak, suami dan madu yang baik, tetapi iman pula belum kuat,” katanya, memetik laporan BH Online.

Dalam pada itu, Zarina enggan bercerita lebih lanjut kerana merasakan dirinya baru berhijrah.

Kita doakan semoga Zarina terus istiqamah dengan penampilan baharunya ini. -Kedahnews.com