Sejauh Mana Ukhuwwah Islamiah Menyatukan Ummah Di Malaysia?

SETIAP kali sambutan Maal Hijrah, kita sering mendengar tema khusus yang jika diteliti, tersirat satu mesej besar iaitu kepentingan masyarakat negara ini agar hidup bersatu-padu, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain.

Tidak dapat dinafikan bahawa akar persaudaraan kukuh dalam masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kesejahteraan serta kedaulatan negara.

Persoalannya, bagaimanakah untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan ini? Ya, Islam telah meletakkan dasar-dasar praktikal dalam usaha mengukuhkan ikatan kasih sayang dan memantapkan roh ukhuwah ini.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 10:
“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
SEMUANYA WAJIB ISTIQOMAH

Sekalipun semua prinsip dan nilai Islam adalah amat jelas serta sempurna, tetapi kita mestilah menyedari bahawa sukar untuk mengembalikan kekuatan membina dan membangunkan tamadun agama, bangsa serta negara seandainya perpecahan dan fitnah masih lagi berleluasa.

Allah SWT mengingatkan kita di dalam ayat 46 Surah al-Anfal:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.”
Perkara terpenting untuk ditumpukan ialah mengamalkan pendekatan seimbang (wasatiyah) kerana Islam adalah agama berasaskan keseimbangan dan toleransi.

Reformasi tidak tercapai jika masih wujud kebencian, hasad dengki dan permusuhan. Ada pun sifat kasih sayang, akhlak yang baik, bertoleransi dan bersangka baik itu adalah jaminan selepas keimanan kepada Allah SWT dalam melahirkan umat terbaik, masyarakat stabil serta negara aman makmur.

Dengan itu, dapatlah kita mengalahkan segala musuh terutama yang ada dalam diri iaitu nafsu dan godaan syaitan. Selain itu, kita juga hendaklah menjauhkan diri daripada jalan-jalan yang boleh membawa kepada ekstremis, taksub, berpecah-belah, tidak berakhlak dan seumpamanya.

Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW iaitu:
“Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi SAW bersabda pada hari pembukaan Kota Mekah: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi (yang tinggal hanyalah) jihad dan niat. Oleh itu, jika kamu diminta keluar berjihad, maka keluarlah!.” - Riwayat Bukhari.
Jika umat Islam berpegang teguh kepada ajaran agama, nescaya persaudaraan itu akan semakin mengukuh umpama dalam satu binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain, walaupun dirintangi pelbagai cabaran yang cuba menggagalkan usaha itu termasuk membangkitkan isu-isu perpecahan antara masyarakat Islam.

Perselisihan antara manusia merupakan sunnatullah. Namun, uslub perbincangan secara penuh hikmah, bersangka baik, mesra amat dituntut bagi mencapai kata sepakat dan keberkatan. Setiap umat Islam wajib mengetahui bahawa mengukuhkan tali persaudaraan itu adalah jihad yang membawa penyatuan, bukannya perpecahan.

PENGAJARAN

Hijrah adalah simbolik tersemainya semangat persaudaraan Islam dalam diri umat Islam hingga dapat menyelesaikan sebarang perbalahan sesama sendiri.

Hijrah menyuntik kejayaan hidup bersatu padu dengan membentuk suatu pegangan kuat sehingga dapat menyelesaikan permasalahan berpaksikan akidah Islamiah.

Memperkasakan Islam melalui lapangan jihad ilmu, ekonomi dan pembangunan umat adalah contoh praktikal bagi melunaskan semangat hijrah dalam makna lebih luas.

Tuntasnya, hijrah banyak mengajar kita makna perpaduan. Lihat sahaja bagaimana kejayaan Rasulullah SAW menyatukan Aus dan Khazraj yang saling bermusuhan atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah SWT.

Jika dilihat dari sudut era globalisasi, hijrah itu merangkumi perubahan dan penghijrahan daripada pelbagai aspek iaitu dari sudut fizikal, minda, sikap, hati, selain persekitaran dan sebagainya.

Perubahan ini mampu mengubah keadaan hidup sama ada dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan taraf hidup. Kini, negara telah mengalami banyak perubahan dan pencapaian daripada satu peringkat kepada peringkat lain yang lebih baik dan cemerlang. Yang pasti, ia memberikan lebih banyak keberkatan dan kesejahteraan serta dapat pula dimanfaatkan bagi kepentingan hidup di dunia ini dan bekalan di akhirat nanti.

Marilah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar agar kesatuan menjadi semakin rapat dan kuat sehingga musuh tidak lagi berani memperkotak-katikkan kita. Hijrah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada yang bebas, insan yang dihina kepada yang mulia, dan insan yang lemah bertukar menjadi kuat.

Sumber: Utusan