Seleweng Projek Infrastruktur: 8 Kereta Mewah Dirampas Lebih RM2.7 Juta


KOTA KINABALU – Lapan kereta mewah yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki ada kaitan dengan penyelewengan kuasa dalam projek infrastruktur di Sabah, dianggarkan bernilai RM2,737,000.

Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan SPRM berkata daripada lapan kereta tersebut, nilai tertinggi ialah RM650,000 manakala yang terendah pula sebanyak RM137,563.

Menurut sumber itu, SPRM sudah mengambil keterangan 11 individu bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa dalam projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

“Kesemua individu itu merupakan kakitangan sebuah agensi kerajaan di sini dan kontraktor,” tambah sumber itu sambil menambah mereka memberi kerjasama yang baik kepada SPRM.

Bagaimanapun, sumber berkenaan menyebut anggota keluarga pengarah dan timbalan pengarah jabatan kerajaan yang menjadi suspek dalam siasatan kes berkenaan, belum dipanggil kerana pasukan penyiasatan masih meneliti dokumen-dokumen berkaitan.

“SPRM juga sedang menyiasat sama ada terdapat penglibatan orang kenamaan dalam kes ini,” kata sumber berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata SPRM juga masih membuat anggaran nilai 127 geran tanah yang dirampas daripada timbalan pengarah agensi kerajaan itu yang semuanya atas namanya dan anggota keluarganya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut tetapi enggan mengulas lanjut. -BERNAMA