Seluar Dalam Biadap: Australia Lepas Tangan

CANBERRA – Kerajaan Australia tidak akan campur tangan dalam sistem keadilan Malaysia, kata Menteri Luarnya, Julie Bishop ketika diwawancara sebuah stesen televisyen tempatan.

Ia susulan penangkapan sembilan rakyatnya kerana memakai seluar dalam bercorak bendera Jalur Gemilang ketika acara perlumbaan Formula Satu Grand Prix Malaysia di Sepang, Selangor lewat Ahad lalu.

Bishop berkata kerajaan Australia juga tidak boleh sewenang-wenangnya “menyelamatkan” mereka, yang dijangka dihadapkan ke sebuah mahkamah majistret tempatan hari ini.

Kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu niat sengaja mengaibkan bertujuan memecah belah keamanan dan Seksyen 14 kanun sama kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

“Saya tidak pasti sama ada ia akan dilihat sebagai kesilapan. Ia memang dirancang. Mereka memakai seluar dalam itu selepas beli di Australia,” kata Bishop dalam rancangan temubual Today menerusi Channel 9 Australia.

Beliau kemudian mengakui perbuatan rakyatnya tersebut sebagai bercanggah dengan budaya setempat walaupun mungkin dianggap sesuatu yang agak biasa di Australia sendiri.


Kesemua lelaki yang ditahan berumur 25 hingga 29 tahun dengan salah seorang daripadanya ialah Jack Walker, penasihat kepada Menteri Industri Pertahanan Australia, Christopher Pyne.

Polis Daerah Sepang berkata, pihaknya mempunyai bukti cukup mendakwa kumpulan lelaki berkenaan kerana aksi mereka, yang dikatakan dalam keadaan mabuk, turut dirakamkan.

Bishop dalam pada itu berkata Canberra boleh memberikan khidmat konsular kepada sembilan lelaki itu seperti juga yang diberikannya kepada kira-kira 1,300 rakyat Australia dalam tahanan di luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata Australia tidak boleh membebaskan mana-mana rakyatnya yang berdepan masalah dengan pihak berkuasa negara lain jika ditahan kerana melakukan kesalahan domestik.

“Kita tidak boleh mencampuri urusan perundangan negara lain seperti juga negara lain itu pun tidak boleh campur tangan urusan perundangan kita sendiri,” jelas Bishop lagi.

Beliau bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan permohonan maaf dan tidak menyatakan sama ada Kementerian Luar Malaysia mengemukakan bantahan susulan insiden itu. – Agensi