Skim Pembayaran Akhir Khas Pembeli PR1MA Diperkenal


KUALA LUMPUR – Skim pembayaran akhir khas jenis kadar tambah bagi program Perumahan Rakyat 1Malaysia yang memberi pembiayaan lebih mudah dan ‘accessible‘ kepada pembeli diperkenalkan dalam Bajet 2017 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Perdana menteri berkata melalui skim ini, jumlah pinjaman mencecah 90 peratus hingga 100 peratus, dan kadar penolakan pinjaman akan berkurangan secara drastik.

“Contohnya, pemohon yang berpendapatan RM3,000 sebulan, hanya layak mendapat pinjaman lebih RM187,000. Melalui skim pembiayaan khas ini, pemohon boleh mendapatkan pinjaman sehingga lebih RM295,000,” katanya ketika membentangkan Bajet 2017, di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata proses permohonan bagi skim ini akan mula dilaksanakan pada 1 Jan 2017 dan ia merupakan hasil kerjasama antara pihak kerajaan, Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan empat bank tempatan iaitu Maybank, CIMB, RHB dan Ambank.

Di samping itu Najib turut mengumumkan pengecualian duti setem dinaikkan kepada 100 peratus ke atas surat cara pindah milik dan surat cara pinjaman perumahan bagi membantu mengurangkan kos pemilikan rumah pertama, berbanding 50 peratus pada masa ini.

Bagaimanapun, beliau berkata layanan pengecualian tersebut terhad kepada nilai rumah sehingga RM300,000 bagi pembelian kediaman pertama sahaja, antara tempoh 1 Jan 2017 sehingga 31 Dis 2018.

PR1MA mendapat sambutan amat memberangsangkan dengan setakat ini, lebih 12,000 unit kediaman berjumlah RM3.3 bilion telah ditempah, manakala 85,000 1agi dalam pelbagai peringkat kelulusan, katanya. – BERNAMA