Soalan PT3 Tentang Kondom Cetus Perbualan Hangat

SOALAN peperiksaan percubaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi mata pelajaran Sains kini menjadi perbualan hangat menerusi media sosial tempatan.

Ini berikutan, terdapatnya satu soalan bertanyakan pendapat tentang penjualan kondom.

Soalan itu berbunyi: ‘Jualan kondom secara terbuka akan membawa kesan negatif yang menyebabkan masalah sosial. Adakah anda bersetuju? Sila jelaskan.’

Sementara, dalam kertas soalan itu turut tertera jawapan pelajar yang bertulis: ‘Tidak. Kondom adalah satu langkah mengawal kelahiran yang diperlukan untuk mencegah kehamilan’.

Bagaimanapun, pemeriksa yang menyemak kertas soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) itu menandakan jawapan tersebut adalah salah.

Dek kerana itu, timbul persoalan kerana umum mengetahui, kondom digunakan sebagai alat pencegahan kehamilan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon yang dipetik oleh akhbar The Star berkata, pihaknya akan menyiasat hal tersebut.

“Mari kita siasat dan lihat apa masalah sebenar. Sesuatu tidak kena kerana kondom digunakan untuk mencegah kehamilan.

“KBAT memerlukan pelajar mempertahankan pendapat mereka ketika menjawab soalan-soalan tersebut. Kita perlu menghormati maklum balas mereka,” katanya.

Manakala, bekas Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN), Datuk Dr. Raj Karim menyifatkan tindakan menandakan salah pada jawapan itu sebagai tidak adil.

“Kami sentiasa mengatakan bahawa kita perlu ajar pendidikan seks atau pendidikan kehidupan keluarga di sekolah dan kanak-kanak untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat dan selamat.

“Ia tidak bermakna anda perlu mengajar mereka mengenai perancangan keluarga, tetapi anda meminta mereka untuk mengamalkannya di kemudian hari.

“Walaupun pendidikan sedia diajar semasa mata pelajaran Biologi, pelajar tidak diajar mengenai fakta utama. Guru mungkin atau tidak mahu bercakap mengenainya atau hanya meminta pelajar membacanya sendiri,” katanya. – Kedahnews.com