SPRM Letak "Pengintip" Dalam Jabatan, Agensi Kerajaan?


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan telah memulakan intipan di jabatan dan agensi kerajaan dengan meletakkan anggotanya sebagai 'mata-mata' sebagai usaha terbaharu membanteras gejala rasuah di negara kita.

Sumber dalaman SPRM ketika memberitahu Sin Chew Jit Poh, kebanyakan 'mata-mata' SPRM ini ditempatkan di jabatan dan agensi kerajaan yang kerap menerima banyak peruntukan kerana mempunyai risiko tinggi berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah.

Menurutnya, jabatan dan agensi kerajaan ini menjadi tumpuan oleh SPRM dengan mengarahkan anggotanya melakukan penyamaran sebagai kakitangan biasa di situ.

Umumnya, mana-mana kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang menerima peruntukan banyak daripada kerajaan, ia secara langsung akan membabitkan banyak projek dan pembelian sekali gus memberikan peluang kepada pegawai dan kakitangannya menerima suapan.

"Kami menghantar 'mata-mata' ini ke jabatan kerajaan tertentu untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Semua maklumat ini kemudian akan dihantar kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada akhbar itu.

Sumber itu memberitahu lagi, kakitangan SPRM yang melakukan penyamaran itu agak sukar dikesan memandangkan mereka telah diberi latihan khas.

Sumber: Sinar Harian