SPRM Nafi Pegawainya Pukul Pegawai Polis


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan satu klip video yang memaparkan seseorang dipukul oleh sekumpulan lelaki melibatkan pegawai agensi tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata SPRM telah membuat satu laporan polis berhubung klip video yang tersebar menerusi media sosial di Johor Bahru, Johor hari ini.

“SPRM memandang berat perbuatan segelintir pihak yang cuba memburukkan imej SPRM di mata masyarakat yang seolah-olah cuba melaga-lagakan SPRM dengan pihak polis.

“Kita harap orang ramai tidak menyebarkan video tersebut kerana ia boleh mengelirukan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Video berdurasi 39 saat yang dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak itu tersebar di media sosial kononnya melibatkan kes penahanan anggota polis oleh pegawai SPRM di Johor. – BERNAMA