Status Halal Auntie Anne's: Ini Penjelasan JAKIM


SUSULAN viral mengenai isu kiosk bakeri pretzel terkenal, Auntie Anne’s yang didakwa tidak mendapat sijil sah Halal dari Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), hari ini pihak Jakim tampil memberi penjelasan mengenai isu tersebut di laman Facebook rasmi mereka.

Jakim menerusi Unit Hal Ehwal Korporat, Bahagian Hab Halal menjelaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menyatakan Auntie Anne’s tidak halal seperti yang diwar-warkan di media sosial baru-baru ini.

Jakim walau bagaimanapun menjelaskan, sehingga ke hari ini belum ada lagi outlet Auntie Anne’s yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia walaupun syarikat itu pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkannya sebelum ini.

Namun, permohonan mereka tidak dapat diproses disebabkan beberapa isu teknikal berhubung dokumen sokongan bahan ramuan.

“Untuk makluman pengguna, sehingga ke hari ini, belum ada lagi outlet Auntie Anne’s yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Pihak syarikat pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia sebelum ini namun ianya tidak dapat diproses atas beberapa isu teknikal seperti dokumen sokongan bahan ramuan.

“Namun, selepas beberapa penambaikan dilakukan, kini status produk makanan Auntie Anne’s adalah dalam proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan telah memasuki fasa proses audit halal bagi Central Kitchen (Dapur Berpusat).

“Oleh itu, perlu ditegaskan di sini bahawa dakwaan kononnya Jakim mengesahkan produk makanan Auntie Anne’s TIDAK HALAL adalah tidak benar sama sekali,” jelas Jakim lagi.

Jakim turut menasihatkan sekiranya mempunyai keraguan mengenai mana-mana premis makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia, pengguna boleh terus melayari direktori halal di www.halal.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut. –Kedahnews.com