Suspek IS Beroperasi Guna Kod "Gagak Hitam"


KUALA LUMPUR - Beroperasi menggunakan kod nama Gagak Hitam, sel pengganas ini terdiri daripada mereka yang memiliki pekerjaan sah tetapi menerima arahan daripada militan IS warga Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi secara senyap.

Antara anggota sel tersebut merupakan ahli perniagaan, juruteknik, kakitangan bank, seorang pengurus eksekutif dan juga kaunselor sekolah.

Namun, Bukit Aman yang melakukan operasi di enam negeri dua minggu lalu berjaya menahan 16 lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas.

Kira-kira 14 suspek yang ditahan itu merupakan kumpulan sel Gagak Hitam yang ahlinya kerap berhubung dengan Muhammad Wanndy yang kini berpangkalan di Syria.

Dua lagi yang ditahan dalam operasi khas antara 21 September dan 6 Oktober lalu masing-masing merupakan pelajar berusia 20 tahun yang menuntut di sebuah universiti di Johor dan lelaki berasal dari Utara Afrika berusia 32 tahun yang juga anggota kumpulan pengganas Jahbat Al Nusra.

Berusia antara 20 dan 38 tahun, 16 suspek itu ditahan di Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Sumber berkata Muhammad Wanndy sedang merekrut ahli dan penyokongnya dalam usaha melancarkan serangan di Malaysia.

"Dia kecewa dengan hasil serangan bom di Movida," kata sumber yang merujuk kepada serangan ke atas sebuah restoran di Selangor pada 28 Jun lalu.

Insiden itu menyebabkan lapan orang awam cedera.

Sumber berkata belum ada petunjuk sama ada ahli sel tersebut menerima arahan daripada Muhammad Wanndy baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata seramai 14  ahli Gagak Hitam yang ditangkap disyaki telah berbai’ah secara dalam talian kepada Mohammad Wanndy.

"Kami percaya ahli sel ini turut menyalurkan dana kepadanya," kata Khalid.

Mengenai pelajar berusia 20 tahun di sebuah universiti di dalam negara, Khalid berkata suspek ditahan ketika pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 22 September lepas.

Menurutnya suspek telah berlepas ke Istanbul, Turki pada 7 September lepas dan ditahan pihak berkuasa Turki pada hari keesokannya kerana merancang untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di negara itu.

"Tangkapan yang dibuat pihak berkuasa Turki itu adalah hasil maklumat Cawangan Khas Bukit Aman," katanya.

Sumber turut mendedahkan Muhammad Wanndy yang berasal dari Melaka menerima dana sekurang-kurangnya RM8,000 sebulan.

Menurut sumber lain, suspek dikatakan mendesak ahlinya untuk melancarkan serangan secara bersendirian termasuk menjadi pengebom berani mati.

Sumber: mStar