Suspek Jadikan Kanak-Kanak Mangsa Seks Ditahan Di Jalan Langgar


ALOR SETAR – Teman lelaki kepada kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun yang menjadi mangsa seks telah ditahan di rumahnya di Taman Setia Jaya, Jalan Langgar di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata lelaki itu ditahan kira-kira 3 petang hasil maklumat dan risikan pihak polis.

“Pihak polis akan dapatkan perintah reman terhadap suspek esok untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol kanak-kanak bawah umur.

Semalam pihak polis melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dipercayai telah diberikan dadah dan dijadikan mangsa seks oleh lelaki yang dikenalinya melalui WeChat yang kes itu terbongkar selepas kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di sini.

Ibu mangsa telah membuat laporan polis Ahad lepas dan hasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut mengenali lelaki itu daripada aplikasi WeChat dan dipercayai telah beberapa kali melakukan hubungan seks. – BERNAMA