Susu Marigold HL Ditarik Balik Serta Merta


KUALA LUMPUR – Malaysia Milk Sdn. Bhd. (Malaysia Milk) menarik balik produk susu Marigold HL 200 mililiter (ml) dan satu liter (l) dari pasaran, berkuat kuasa serta-merta.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil selepas menerima maklum balas pelanggan berhubung produk susu berperisa coklatnya lebih pekat daripada biasa.

“Walaupun maklum balas pelanggan merujuk secara khusus kepada susu Marigold HL berperisa coklat, kami mengambil langkah proaktif menarik balik produk susu lain, termasuk Marigold HL rendah lemak, berperisa strawberi dan Sterol Tumbuhan.

“Bagaimanapun, hanya produk susu Marigold HL dengan tarikh luput sebelum 7 November bagi Semenanjung dan tarikh luput sebelum 11 November bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang ditarik balik serta-merta,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pasukan unit Kawalan Kualiti dan Pengilangan sudah mengenal pasti punca masalah terbabit dan menyelesaikannya.

Pelanggan yang sudah membeli produk terbabit dinasihatkan memulangkannya kepada Malaysia Milk dan akan digantikan dengan produk baharu.

“Malaysia Milk ingin memohon maaf atas segala kesulitan akibat penarikan balik produk kerana aspek kesihatan dan keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami,” katanya.

Sumber: BH Online