KUALA LUMPUR – Mengamalkan sikap toleransi antara mazhab atau ‘at-tasamuh baina al mazahib’ menjadi satu pendekatan bagi membolehkan Sunni dan Syiah bersatu di bawah payung Islam.
Prof. Madya Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni |
“Kita tidak boleh menghukum Syiah sebagai kafir kerana dalam lafaz syahadah, Syiah tetap mengakui bahawa Allah itu Tuhan yang wajib disembah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
“Tinggal lagi Syiah menambahkan kalimah syahadah mereka dengan perkataan ‘Ali Waliyullah’ dan itu hanyalah satu kesesatan yang biar Allah sahaja yang menentukan kafir atau tidak seseorang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Syarahan Umum Profesor Madya Pelawat yang bertajuk Mampukah Sunni dan Syiah Bersatu? anjuran Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, dekat sini semalam.
Yang turut hadir Pengarah institut, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman.
Kamaluddin berkata, golongan Syiah diminta supaya hentikan perbuatan mereka menarik orang Islam yang lain supaya berfahaman seperti mereka kerana umat Islam tidak dapat menerima sebarang ajaran yang memburuk-burukkan para sahabat besar Nabi Muhammad SAW, terutamanya Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab dan isteri baginda, Siti Aishah.
“Para sahabat besar Rasulullah ini adalah antara 10 orang yang dijanjikan syurga oleh Allah, jadi apa hak kita untuk memburuk-burukkan mereka,” katanya.
Namun beliau yang berasal dari Indonesia memuji konteks dan keadaan di sini apabila Malaysia mengambil tindakan yang tegas terhadap sebarang usaha menyebarkan ajaran Syiah.
“Undang-undang di sini adalah lebih ketat dan ini boleh menyekat penyebaran fahaman Syiah namun kita tetap meminta supaya Syiah hentikan segala usaha mereka menarik orang lain kerana kita tahu mereka hendak menjayakan misi di peringkat global, iaitu memastikan Syiah menguasai Islam pada tahun 2029.
“Ini mereka lakukan dengan dalam bentuk ketenteraan, menawan para ulama sunni dan perang saraf terhadap umat Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Sumber: Utusan