"Tabung Sampah" Lunas Hutang Yuran Sekolah Pelajar Miskin

JAKARTA – Setiap pagi, sejumlah pelajar Sekolah Menengah Kejuruan Negeri (SMKN) 6 Kota Malang, Jawa Timur, meletak sampah di tempat disediakan sebelum memulakan persekolahan.

Akhbar berpengaruh Kompas melaporkan, ramai pelajar membawa sampah untuk ditabung di sekolah, manakala wang hasil penjualan sampah jenis kitar semula itu bakal digunakan untuk membayar yuran keperluan sekolah.

Pengetua SMKN 6 Kota Malang, Dwi Lestari menjelaskan, kegiatan menabung dengan sampah itu sudah bermula sejak tiga bulan lalu bertujuan supaya pelajar turut menyumbang membantu orang tua melunaskan yuran sekolah.

“Sekiranya mereka kesusahan, pelajar terlibat masih dapat membayar menerusi tabungan itu,” kata wanita tersebut sambil menjelaskan, daripada lebih 2,000 pelajar, hanya 40 peratus berasal dari keluarga kalangan berkemampuan.


Manakala 60 peratus adalah dari keluarga yang masih kesulitan bayar yuran persekolahan, termasuk Sumbangan Pembinaan Pendidikan (SPP) ditetapkan oleh pihak pemerintah iaitu 175,000 rupiah (kira-kira RM56) sebulan.

Akibatnya, ramai pelajar miskin didapati menanggung banyak tunggakan hutang yuran wajib SPP yang lazim digunakan untuk keperluan bajet operasi harian sekolah atas alasan keluarga mereka sendiri tidak mampu.

Dengan adanya kegiatan usaha penabungan menggunakan sampah kitar semula ini, pelajar tidak lagi membebankan orang tua mereka untuk membayar keperluan sekolah malah dapat memelihara kebersihan persekitaran.

Tidak hanya itu, pihak sekolah juga ujar Dwi Lestari memiliki tujuan lain melalui kegiatan tersebut, iaitu mencipta rasa keprihatinan pada diri pelajar, membentuk karakter keusahawanan dan membangun budaya menabung.

Namun bukan semua sampah diterima. Pihak sekolah hanya membenarkan sampah berbentuk plastik dan kertas yang boleh dikitar semula. Sampah itu ditimbang, lalu dinilaikan harga sesuai dengan jenis sampah yang dibawa.

Hasil jualan, pihak sekolah bekerjasama dengan Bank Sampah Malang (BSM). Setiap minggu, sampah sarap hasil tabungan pelajar tersebut diangkut untuk dijual. Rata-rata, sampah itu mencapai 500 kilogram setiap minggu.

Harga yang dijual kepada pelajar bermula daripada 1,500 rupiah (RM0.50) hingga 3,000 rupiah (RM1) sekilogram, manakala harga ditetapkan pihak BSM kepada orang awam kelazimannya berbeza 200 rupiah (kira-kira RM0.10).

Penyelaras Penimbangan dan Penyisihan yang juga Staf Pentadbiran SMKN 6 Kota Malang, Nurul Fitriyah menyatakan, biasanya pelajar tiba awal di sekolah langsung meletakkan sampah dibawa di tempat disediakan.

Setiap pelajar memberi nama masing-masing di kantung sampah tersebut. Kemudian pihak sekolah yang bertugas menimbang sampah dibawa itu dan hasil jualannya dicatat dalam buku tabungan milik pelajar untuk rujukan.

“Jadi ia tidak mengganggu terhadap pelajaran mereka,” jelas Nurul Fitriyah. Ramai pelajar miskin ditemui Kompas mengakui usaha pihak sekolah itu berjaya membantu mereka dalam mengurangkan beban kewangan keluarga.

Langkah pelik tersebut sebenarnya turut diamalkan beberapa buah tadika setempat beberapa tahun lalu sekali gus mengurangkan masalah keciciran pendidikan prasekolah dalam kalangan penduduk. – Agensi