Tak Peduli Kecaman, Azizan Osman Terus Beri Motivasi


SELEPAS hampir tiga minggu pendedahan mengenai kelayakan akademik pakar motivasi, Azizan Osman, sehingga kini tiada penjelasan sebenar daripada empunya badan.

Sebaliknya, kecaman dan kritikan itu dilihat tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberikan ceramah kepada yang sudah mendaftarkan diri dalam program dikelolakannya.

Pemerhatian di laman Facebooknya mendapati pelbagai aktiviti dikongsikan termasuk program ceramah di sekitar ibu negara selain daripada kata-kata perangsang untuk menjadi lebih baik.

Azizan dalam laman Facebooknya juga turut berkongsi tips untuk berniaga secara dalam talian dan pelbagai tips perniagaan yang lain kepada pengikutnya.

“Hasil yang kita dapat hari ini ialah hasil semalam. Banyak atau sedikit rezeki, kita harus bersyukur,” tulisnya dalam Facebook.

September lalu, tiga universiti tempatan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) menafikan menganugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran dan PhD yang membawa gelaran Doktor kepada pengasas syarikat Richworks Group of Companies itu.

Azizan bagaimanapun mengeluarkan kenyataan melalui syarikatnya dengan mengakui telah memenuhi syarat untuk Doktor Falsafah (Psikologi) dari Universiti Hertfordshire, United Kingdom dan konvokesyen akan berlangsung dalam masa terdekat selain memiliki kelulusan doktor sains (metafizik) daripada Universiti Gordon, Bradenton, Florida, Amerika Syarikat sejak 2009.

Pengakuan itu tidak berhenti di situ, apabila netizen di dalam dan luar negara terus menjalankan siasatan dan mendapati Universiti Gordon yang dinyatakan Azizan adalah tidak wujud manakala University of Herfordshire menafikan menganugerahkan PhD kepada individu yang bernama Azizan Osman dan tidak terdapat nama berkenaan dalam rekod pencarian institusi itu.

Netizen di laman sosial juga kembali ‘sunyi’ apabila Azizan sehingga kini seolah-olah berdiam diri dan membiarkan persoalan mengenai akademiknya ‘hilang’ dengan sendirinya. -Kedahnews.com