Tawaran Tender Hospital Pendang Bakal Dibuka Pada Mei 2017


ALOR SETAR - Tender bagi projek pembinaan Hospital Pendang bakal dibuka pada bulan Mei tahun depan, jelas Exco Kesihatan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong, semalam.

Menurut beliau, projek pembinaan hospital berkenaan menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi menyediakan khidmat terbaik buat rakyat di negeri berkenaan, khususnya masyarakat di daerah Pendang.

"Saya difahamkan tender bagi pembinaan hospital baru di Pendang akan dikeluarkan pada bulan Mei 2017. Itu maklumat yang saya dapat dan belum ada sebarang perubahan sehingga hari ini," jelas beliau mengenai status projek untuk rakyat tersebut.

Mengulas lanjut, beliau difahamkan melalui satu kenyataan media yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Hilmi Yahya, tentang kemungkinan bajet bagi kementerian itu akan menerima sedikit pemotongan.

Ekoran itu Dr Leong menjelaskan bahawa beliau telah berbincang dengan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dato' Dr Norhizan Ismail, untuk memastikan

"Jadi saya pun cepat-cepat berbincang dengan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, kita pastikan kalau ada potongan bajet, kita mungkin akan membuat perubahan pada rekabentuk atau landskap yang memakan belanja besar.

"Tetapi yang paling penting, pengisian hospital itu yang melibatkan 120 katil dan kemudahan dalaman untuk memberi khidmat dan keselesaan terbaik buat rakyat, kita tak boleh potong. Ini kita punya pendirian sekarang," tegas Exco Kesihatan Negeri Kedah itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11) turut menyenaraikan projek pembinaan hospital di Pendang setelah tertangguh sejak diumumkan pada RMK 10.

Difahamkan hospital berkenaan terpaksa ditangguhkan ekoran masalah membabitkan status tanah yang dipilih untuk menjadi tapak projek tersebut dan telah berjaya diselesaikan dengan baik.

Pendang merupakan satu-satunya daerah di negeri Kedah yang tidak memiliki hospital sendiri dan menjadi keperluan utama masyarakat di kawasan tersebut yang hingga kini masih bergantung kepada klinik kesihatan daerah sedia ada. -Kedahnews.com