Muhammad Yusuf bersama anak-anaknya kini bahagia menjalani kehidupan sebagai Muslim. |
KULIM - Semangat untuk terus menjadi Muslim yang istiqamah taat kepada perintah ALLAH memberi kebahagiaan kepada bapa 10 anak, Muhammad Yusuf Abdullah, 52, malah dinobatkan sebagai Tokoh Saudara Kita sempena Maal Hijrah 1438/2016.
Muhammad Yusuf berkata, kisahnya dalam mencari hidayah ALLAH bermula ketika berhijrah dari kampung halaman di Pahang ke Kulim pada 2002.
“Saya pindah dengan isteri dan anak-anak ke Kulim sebab mahu kerja sebagai buruh kasar di sini," katanya.
Katanya, sekitar 2006, keluarganya makin bertambah, namun gaji sebagai buruh yang agak kecil tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga.
“Setiap pagi saya akan ke pasar tani beli ikan dengan harga RM3 atau RM4 saja untuk buat lauk. Satu hari di gerai yang selalu saya pergi, peniaga ikan nama Daud tegur saya bila lihat saya beli ikan sikit tapi anak ramai.
“Dia tanya cukupkah ikan banyak itu untuk anak-anak, jadi dia beri ikan lebih pada saya. Saya terkejut sebab walau berlainan agama dan bangsa, Daud sanggup bantu dan ada belas ihsan kepada kami sekeluarga,” katanya.
Dia berkata, bermula dengan keprihatinan Daud, hatinya mula terbuka untuk mendalami Islam dan terus memeluk agama suci itu.
“Selama ini saya hanya tahu kasih sayang hanya untuk isteri dan anak-anak, selain itu saya tak tahu. Tapi melihat peribadi Daud yang beragama Islam, rupanya kasih sayang itu merangkumi semua tanpa kira bangsa atau agama.
“Hati saya tersentuh untuk belajar tentang agama Islam, terus saya berjumpa dengan Daud beritahu niat saya, dia sangat gembira dan pada 2006 saya sah memeluk Islam,” katanya.
Keluarga menentang
Katanya yang tinggal di Taman Selasih, pada mula penghijrahannya hidupnya berdepan rintangan apabila isteri serta ibu bapanya menentang keputusan tersebut, malah dia pernah dipukul saudara sendiri.
“Beberapa hari lepas memeluk Islam, ALLAH SWT turunkan ujian apabila isteri serta keluarga menentang hebat. Saya terpaksa larikan diri bersama lima anak dan memohon bantuan Daud.
“Demi keselamatan saya dan anak-anak, kami ditempatkan di Pusat Latihan Saudara Baru dan di situ saya mendalami tentang Islam," katanya.
Namun katanya, ujian terus melanda apabila isterinya bertindak menghantar anak mereka di sekolah beragama Hindu.
"Demi anak-anak, saya nekad berbaik dengan isteri sehinggakan terpaksa bersabar apabila sebuah rumah dikongsi dua agama,” katanya menceritakan detik kesukaran dialami.
Menurutnya, berkat sikap sabar dan tidak putus berdoa, isteri dan anak-anak serta sebahagian ahli keluarganya telah mengucap dua kalimah syahadah pada 2011.
“Ini kemanisannya, dengan pertolongan ALLAH, hampir seluruh ahli keluarga dan saudara mara saya kembali kepada Islam. Alhamdulillah, syukur,” katanya.
Katanya, walaupun kehidupannya serba kekurangan, ia tidak mematahkan semangat untuk terus mendalami agama Islam kerana dia percaya ALLAH wujud dan sentiasa membantu hamba dalam kesusahan.
“Saya kini aktif berdakwah untuk memperluaskan ajaran Islam. Alhamdulillah dengan berbekalkan kesabaran serta doa saya berjaya mengislamkan seramai 20 orang termasuk keluarga.
“Setiap kali berdakwah saya tidak putus-putus menceritakan mengenai syafaat Rasulullah SAW untuk menarik minat individu beragama lain,” katanya.
Sumber: Sinar Harian