Teresak-Esak Menangis Detik Selamatkan Bayi Syria


DAMSYIK – Wajahnya basah dek titisan air mata ketika merangkul seorang bayi berusia sebulan, yang menangis ketakutan dan kesakitan akibat serangan bom yang nyaris mengorbankannya.

Namun begitu, Abu Kifah, seorang pekerja penyelamat Syria tidak menyangka rakaman video yang menunjukkan dirinya menangis semasa menyelamatkan bayi bernama Maartouk, tersebar luas menjadi viral di seluruh dunia.


Malah, dia tidak menyangka rakaman eksklusif itu menyebabkan seorang penyampai berita stesen antarabangsa terkenal BBC, Kate Silverton, turut menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan sebak kepiluan.

Apabila dimaklumkan mengenai wanita itu menangis setelah menyaksikan rakaman video berkenaan, Abu Kifah memaklumkan bahawa apa sahaja cara yang dapat menyebarkan tentang apa berlaku di Syria lebih membantunya.

“Adalah normal untuk menangis menyaksikannya sendiri dan jika itu dapat membantu negara Barat memahami suara rakyat Syria, itu sesuatu yang baik,” kata beliau yang dipetik portal berita MailOnline.


Abu Kifah, yang merupakan sukarelawan bersama pasukan Pertahanan Awam Syria dipuji sebagai wira setelah dia berjaya menyelamatkan bayi itu daripada serangan ganas yang disyaki dilakukan pesawat pejuang Rusia.

Serangan tersebut menyebabkan mangsa cilik berkenaan terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan selama dua jam sebelum ditemui penyelamat di sebuah bandar di bahagian utara Idlib pada 30 September lalu.

“Semalam saya berasa gembira – begitu emosi kerana kami berjaya menyelamatkan tiga orang: seorang ibu dan dua anak perempuannya,” kata Abu Kifah.


Meskipun lelaki tempatan yang berusia 22 tahun itu masih belum mempunyai anak, dia berkata seolah-olah “saya seumpama bapa bayi itu dan mereka seperti anak perempuan saya sendiri.”

Abu Kifah dirakam menangis teresak-esak sedang beliau mengejarkan bayi itu ke hospital menaiki sebuah ambulans, sambil merintih “Ya Allah, Ya Allah”, lapor akhbar Daily Mail.

Dalam pada itu seorang paramedik dilihat menyapu iodin dan pembalut pada dahi bayi berkenaan, sebelum diletakkan di atas sebuah katil hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Saya selalu sembunyi perasaan, namun semalam saya gagal. Saya seorang tabah dan serius, namun keadaan begitu buat saya terkesan. Malah sekarang saya masih menangis apabila lihat kembali rakaman video itu,” ujarnya sebak.


Ribuan kanak-kanak terbunuh dalam konflik yang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya di Syria, sementara sekitar dua juta lagi sudah lama tidak bersekolah, lapor Daily Mail.

Abu Kifah menyelamatkan Maartouk daripada serangan berdarah yang membunuh sekurang-kurangnya enam orang, meskipun menurut sesetengah sumber jumlah kematian ialah 21 orang. – Agensi