Terima Aduan Orang Ramai, 4 Lelaki Positif Syabu Ditahan


SUNGAI PETANI - Dua beradik antara empat individu yang ditahan oleh Unit Penguatkuasaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, semalam.

Kesemua suspek berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan bertindak ke atas beberapa aduan yang disalurkan oleh orang awam bahawa lelaki berkenaan dipercayai terlibat dengan penagihan dadah.

Operasi Aduan melibatkan empat  anggota penguatkuasa diketuai  Norzarenawati Osman.

Lokasi serbuan  melibatkan tiga buah rumah keluarga di Taman Nilam, Taman Ria Jaya dan Taman Bandar Baru.

Pengarah AADK Negeri, Mohammad Nazer Mustafa berkata seramai empat lelaki ditahan melibatkan dua beradik dan dua individu berasingan.

"Kesemua mereka yang ditahan dan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian air kencing mendapati keempat mereka  positif dadah jenis methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu. Untuk itu, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan dan Pemulihan ) 1983,"katanya.

Mohammad Nazer berkata hasil  perbincangan bersama keluarga, suspek berkenaan didapati terjebak dadah sejak sekian lama namun tidak mampu untuk berubah akibat persekitaran yang penuh dengan cabaran.

"Syabu bukan sahaja menjadi kegilaan kepada penagih baru namun ianya kini merebak kepada golongan berumur. Pelajar sekolah turut dikesan terlibat dengan dadah jenis ini dan ianya memberi tekanan kepada keluarga khususnya kerana mereka ini bertindak agak agresif dan di luar pertimbangan.

"Oleh itu, pihak AADK memohon agar keluarga serta masyarakat tampil kehadapan untuk bersama sama membantu mereka bagi mendapatkan rawatan pemulihan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Kerjasama semua pihak amat penting bagi merealisasikan usaha perangi dadah habis habisan,"katanya.

Sumber: Sinar Harian