Terkejut Didenda PLUS Sebab Terlalu Lama Di R&R Gurun


GURUN – Seorang pemandu mendakwa dia telah ‘didenda’ oleh pihak Lebuhraya PLUS kerana berada terlalu lama di hentian Rehat dan Rawat (R&R).

Damar Wulan, menerusi laman sosial meluahkan ketidakpuasan hatinya ekoran dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM6.40 ketika tiba di Plaza Tol Pendang yang mana menurutnya kadar bayaran kebisaan hanyalah RM3.00.

Damar sebelum tiba di Plaza tol berkenaan, dia berhenti seketika di kawasan R&R Gurun untuk tidur selama setengah jam akibat keletihan selepas menghantar rakan.

“Aku didenda RM9.40. Bayaran tol sahaja RM3.00 tetapi dicaj sehingga RM9.40 ketika sampai di Tol Pendang, di mana caj tambahan itu dikenakan kerana duduk di R&R melebihi 1 jam 50 minit. Gila ke apa ini? Tak boleh duduk lama di R&R?” katanya.


Menurut Damar, pihak PLUS memberikan alasan bahawa mereka mengesyaki jika duduk lama di R&R ada unsur penipuan dilakukan oleh pengguna lebuh raya.

Lantas membuatkan dia menghubungi pihak PLUS bagi mendapatkan kepastian berkenaan perkara tersebut, namun jawapan yang diberi masih tidak memuaskan.

“Saya memaklumkan bahawa saya letih dan tidur seketika di R&R, namun penyelia tol berkenaan pula menyatakan tidur tidak diiktiraf di atas lebuhraya PLUS kerana di situ tiada hotel. Malah, pengguna kena akur dengan sistem yang telah dibuat.” katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan jika peraturan seperti itu dilaksanakan, mengapa pihak PLUS tidak meletakkan papan di ‘Tidak dibenarkan berehat melebihi 1.5 jam‘ di R&R Gurun.

Merujuk kepada kes Damar, PLUS pada 2005 pernah mengeluarkan kenyataan akbar di mana pihaknya akan mengambil tindakan denda terhadap pengguna yang menggunakan lebuhraya mereka bagi tempoh yang terlalu lama dan tidak munasabah.

Langkah itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Menteri Kerjaraya pada ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu dengan mengatakan PLUS dilarang melaksanakan denda tersebut sehingga pindaan undang-undang berkaitan dilakukan. -Kedahnews.com