TH Serah Zakat Perniagaan RM4.13 Juta Kepada Maik


KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) semalam menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM4,136,827.39 bagi tahun 2015 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pembayaran zakat itu mencatat peningkatan sebanyak 2.29 peratus atau RM92,559.60 berbanding RM4,044.267.79 pada tahun sebelumnya yang diberikan kepada negeri itu.

“Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun 2015 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah RM59.3 juta berbanding RM57 juta pada 2014,” katanya kepada pemberita selepas majlis menyerahkan pembayaran zakat itu kepada MAIK di sini.

Abdul Azeez menyampaikan pembayaran itu kepada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Ismail Petra yang juga Yang Dipertua MAIK.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah.

Abdul Azeez berkata Kelantan merupakan negeri terakhir dalam siri jelajah penyerahan zakat perniagaan TH tahun ini dan menjadi negeri keempat terbesar menerima sumbangan zakat itu selepas Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor.

Beliau berkata selain pusat zakat, TH turut mengagihkan zakat secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez berkata TH masih belum mendapat maklum balas secara rasmi mengenai kadar baharu visa haji dan umrah bagi jemaah yang menunaikan ibadah itu buat kali kedua.

“Saya tidak boleh membuat sebarang spekulasi melalui laporan akhbar sahaja. Kami difahamkan kenaikan akan dibuat pada November ini tapi kami belum mendapat sebarang arahan secara bertulis daripada kerajaan Arab Saudi.

“Sebaik surat dikeluarkan, kami akan adakan mesyuarat ahli lembaga pengarah untuk perbincangan, kemudian baru kami keluarkan kenyataan. Insya-Allah kita akan patuh dan ikut segala garis panduan yang dikeluarkan kepada Tabung Haji.

Portal asing, Saudi Gazette pada Ogos lepas melaporkan bahawa kerajaan Arab Saudi mengumumkan semakan semula caj visa haji dan umrah bagi pelawat asing untuk mengerjakan ibadah itu buat kali kedua dengan caj dianggarkan kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 untuk sekali masuk. – BERNAMA