Tiada Arahan Atau Larangan Sertai Bersih 5 - PAS Kedah

ALOR SETAR - PAS Kedah tidak memberi sebarang arahan atau tegahan terhadap pemimpin mahupun ahlinya untuk menyertai himpunan Bersih 5 yang dijangka berlangsung pada 19 November ini di ibu negara.

Namun begitu, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa menyokong sebarang usaha bagi memastikan proses dan sistem pilihan raya di negara ini adil dan telus.

"Dalam hal Bersih 5, tiada arahan atau tegahan ke atas ahli dalam himpunan tersebut.

"Pas menyokong usaha untuk menjadikan pilihananraya yang bersih dan telus," kata beliau ketika dihubungi Kedahnews.com di sini, hari ini.

Pada Ahad lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai Bersih 5 kerana ada objektif program itu yang tidak seiring dengan pendirian PAS.

Kenyataan tersebut dibalas oleh Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah, yang menyatakan pihaknya sudah menjangka PAS tidak akan menyertai himpunan tersebut.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini dikritik hebat penyokong PAS ekoran sikapnya yang "mesra" Pakatan Harapan dilihat telah menyertai sambutan konvoi Bersih 5 bersama Pakatan Harapan di sini, baru-baru ini.

Tindakan Mahfuz tersebut sekali lagi mengundang kritikan pedas dilemparkan padanya yang dikatakan lebih mengutamakan agenda Pakatan Harapan, sebaliknya mempunyai hubungan "dingin" dengan kepimpinan PAS yang lain. -Kedahnews.com