Tiada Cadangan "Halalkan" Judi Online Di Malaysia - KPN


IPOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bercadang untuk mengesyorkan kepada kerajaan agar 'menghalalkan' permainan judi dalam talian walaupun terdapat negara jiran berbuat demikian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ini kerana sudah terdapat permainan judi yang dibenarkan di Malaysia, termasuk nombor ekor.

"Saya fikir sudah ada permainan judi yang mencukupi untuk orang berjudi, sudah ada Magnum, Toto dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan veteran dan bekas polis Orang Asli sempena Ulang Tahun 69 Komando ke-47, di sini, semalam.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Singapura membenarkan aktiviti perjudian dalam talian di negara itu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa di mana-mana kawasan di Malaysia jika menggunakan kemudahan judi dalam talian di Singapura itu, ia adalah satu kesalahan.

PDRM telah mengesyorkan beberapa pindaan ke atas Akta Rumah Judi Terbuka 1953, kata Khalid tanpa menghuraikan lebih lanjut. - BERNAMA