"Tipulah Kalau Kata Saya Tidak Terkilan" – Mat Zan


MELAKA – “Tipulah kalau kata saya tidak terkilan,” kata jurulatih berpengalaman Mat Zan Mat Aris yang diketepikan Melaka United bagi mengharungi Liga Super musim depan.

Beliau yang mengendali pasukan itu selama dua tahun dan berjaya membawa Melaka United menjuarai Liga FAM 2015 serta Liga Perdana musim ini, mengakui mempunyai rancangan jangka panjang sekiranya terus bersama skuad Sang Kancil itu, namun hasrat berkenaan terpaksa dilupakan.

Mat Zan, 58, berkata pengurusan pasukan mungkin meragui kemampuannya menerajui skuad itu di Liga Super sedangkan beliau juga berpengalaman mengendalikan pasukan dalam liga utama tersebut.

Malah, bekas tonggak tengah Kuala Lumpur pada era 1980-an yang pernah digelar “Orang Besi’ itu berkata pasukan yang diterajuinya tidak pernah turun ke divisyen bawah, sebaliknya kekal dalam liga utama dan mencipta kejayaan masing-masing.

“Memang saya ada impian tetapi bila jadi macam ini, saya rasa terkilan terutama dengan kenyataan yang dibuat pengurusan Melaka United,” katanya yang pernah membawa Terengganu menjuarai Piala Malaysia 2001 selain mengendalikan skuad Kuala Lumpur dan Pos Malaysia.

“Bila dah jadi macam ini, saya nak buat macam mana? Mereka yang buat keputusan kerana mereka orang atasan dan ada hak, kalau mereka tidak mahu kita, kenapa kita nak pergi merayu…maaflah,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan hanya 10 pemain ditawarkan kontrak baharu termasuk penjaring terbanyak Liga Perdana, Ilija Spasojevic yang menghasilkan 24 gol, dan Mat Zan juga tiada dalam perancangan pasukan itu musim depan.

Mengulas lanjut, Mat Zan berkata pengurusan Melaka United langsung tidak pernah membincangkan atau membangkitkan tentang kontrak baharu kepadanya walaupun kontraknya tamat sejak Ogos lepas.

“Saya tetap teruskan tanggungjawab walaupun tidak ada kontrak kerana masih ada perlawanan yang perlu diharungi. Pada masa itu, pemain pun turut tertekan sebab tiada kata putus mengenai status mereka dan saya terpaksa memberi motivasi kepada mereka,” katanya.

Mengenai perancangannya selepas ini, jurulatih kelahiran Melaka itu mengesahkan ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain namun belum membuat keputusan kerana sebelum ini masih memikirkan tentang Melaka United selain beberapa faktor termasuk jarak.

Beliau berkata apa yang penting buat masa ini adalah mendapatkan rehat yang mencukupi selepas penat mengharungi Liga Perdana sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.

“Saya juga harap Melaka United akan pergi lebih jauh walaupun bukan bersama saya. Begitu juga dengan penyokong pasukan agar mereka terus menyokong dan berada di belakang Melaka United dalam apa jua keadaan,” katanya. – BERNAMA