ALOR SETAR - Inisiatif Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah yang menganjurkan program Pusat Tiusyen Barakah Kedah banyak memberi manfaat dan membantu para pelajar di negeri itu, khususnya bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan penting tidak lama lagi.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena II, Muhammad Izzuddin Alias berkata, program tersebut telah berjaya membantunya meningkatkan pencapaian matapelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik ke tahap yang lebih baik berbanding sebelumnya.
"Kesannya, Bahasa Inggeris saya semakin baik. Kalau sebelum ni saya selalu dapat C masa awal tahun ni.. tapi lepas saya sertai program Pusat Tiusyen Barakah Kedah ni, saya dapat B.. ada peningkatan yang semakin baik.
Muhammad Izzuddin Alias |
"Program ini banyak membantu saya. Kalau saya nak cari sesuatu bahan nak buat latih tubi kita nak belajar sendiri tu agak susah bagi saya.. bila dah ada cikgu yang bantu maka senanglah sikit untuk saya belajar dan lebih faham.
"Pelajaran tambahan yang diberi itu amat membantu dan memudahkan saya untuk jadi lebih faham format peperiksaan," jelas pelajar aliran sains tulen itu.
Meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 5A untuk peperiksaan SPM kira-kira 33 hari lagi, Muhammad Izzuddin yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang itu berharap akan dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan di negara ini.
"Saya target A untuk bahasa Inggeris dan B untuk subjek matematik.. matematik sebelum ni saya dapat D," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, petang tadi.
Sementara itu, pelajar tingkatan 5 dari SMK Seri Pantai, Zarith Sofia Rosly, program tersebut telah menyuntik semangatnya untuk menjadi lebih gigih belajar dan meningkatkan pencapaian bagi kedua-dua mata pelajaran itu.
Zarith Sofia Rosly |
"Selepas saya ikuti program tiusyen ni saya jadi lebih bersemangat untuk belajar. Ia meningkatkan minat dan kesungguhan saya untuk mencapai ke tahap yang lebih baik dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dan matematik.
"Gred dan markah saya makin meningkat. Sebelum ni saya pernah gagal subjek matematik, tapi sekarang saya tak gagal dah.. makin baik," katanya.
Anak ke-8 dari 10 adik beradik itu menjelaskan dia sering datang awal ke program tiusyen percuma itu untuk mendapatkan tempat duduk di bahagian hadapan kelas bagi memastikan dirinya lebih fokus.
Guru yang terlibat menawarkan diri mengajar di program Tiusyen Barakah Kedah itu, Nor Chamila Saad berkata, usaha mewujudkan program tersebut merupakan inisiatif terbaik untuk menggilap potensi pelajar untuk mencapai keputusan peperiksaan yang lebih cemerlang.
Cikgu Nor Chamila Saad |
Kata guru bahasa Inggeris dari SMK Jerai di parlimen Baling itu, program tiusyen itu amat membantu bagi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan penting khususnya bagi matapelajaran yang dilihat agak sukar dikuasai pelajar seperti bahasa Inggeris dan matematik.
"Usaha pihak yang menganjurkan program tiusyen ini memang amat baik untuk para pelajar terutamanya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan yang penting seperti SPM. Kita tak dapat nafikan subjek bahasa Inggeris dan matematik merupakan "very killer subject" terutama bagi pelajar di luar bandar.
"Saya yakin dengan usaha sebegini bukan saja mampu memberi manfaat ilmu kepada pelajar kita, malah mampu meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak Kedah ke tahap 'top 5' di negara kita," katanya kepada Kedahnews.com.
Menurut guru tingkatan 4 dan 5 yang merupakan anak jati Baling itu, meskipun program tiusyen itu bermula pada Jun dan peperiksaan SPM hanya kira-kira 33 hari dari sekarang, ia mampu memberi bantuan moral kepada pelajar yang kebiasaannya "panik" berdepan peperiksaan besar.
Jelasnya, guru-guru yang terlibat program tiusyen itu memberikan galakan, panduan dan bantuan semaksimum mungkin untuk menenangkan para pelajar supaya memberi fokus yang lebih di samping melegakan kerunsingan yang di hati mereka.
Pusat Tiusyen Barakah Kedah merupakan inisiatif Kerajaan BN Negeri Kedah yang tercetus dari ilham Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang sebelum ini dihina pihak tertentu kononnya memiliki kelulusan SRP meskipun beliau sebenarnya berkelulusan MCE (SPM), sebelum ini.
Ekoran menyedari betapa pentingnya pendidikan yang sempurna dan niat mahu mengubah nasib anak bangsa, khususnya anak-anak Kedah, Ahmad Bashah telah meminta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) untuk mengendalikan program tersebut di 15 parlimen di seluruh negeri itu.
Justeru itu, Ahmad Bashah berbesar hati untuk mengambil semua 600 pelajar yang terlibat dengan program berkenaan sebagai anak angkatnya (#AnakAngkatAbah) dan diraikan di majlis Ramah Mesra di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, hari ini. -Kedahnews.com