TMJ Cari Jurulatih Sepanyol Untuk Skuad Harimau Malaysia


MESKIPUN belum memberi kata putus sama ada akan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini berada di Madrid demi untuk bola sepak negara. 

Tunku Ismail menjelaskan jemputan yang diterima beliau ke Persidangan ‘World Football Summit’ punyai sebab yang tertentu khusus untuk membantu pasukan bola sepak kebangsaan.

Menurut Tunku Ismail, beliau sudah lama ingin membantu skuad kebangsaan namun tidak boleh melakukan apa-apa kerana pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini.

“Apabila pengurusan baru mengambil alih FAM tahun hadapan, tiga objektif utama akan terus dilaksanakan.

“Pertama, pelantikan jurulatih baharu dari Sepanyol, keduanya adalah duit hak penyiaran untuk semua pasukan dan ketika memperbaiki Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” katanya menerusi kemas kini status di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Ogos lalu, TMJ menolak ‘formula’ yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk mengambil alih Presiden FAM dengan alasan mahu mengelak wujudnya konflik kepentingan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun, beliau masih belum membuat keputusan mengenai tawaran sebagai Pengerusi FMLLP sehingga perbincangan lanjut diadakan.

Mengulas lanjut, TMJ memberitahu, jurulatih yang dicari bukan sahaja untuk pasukan utama negara tetapi juga di peringkat belia.

“Jurulatih baharu ini akan terapkan polisi, disiplin dan falsafah buat pasukan kebangsaan,” tambahnya lagi.

Tunku Ismail dijemput menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia 2016 bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan bola sepak di Madrid, Sepanyol yang akan bermula pada 27-28 Oktober ini.

Seminar ini turut dihadiri oleh nama-nama besar dalam arena bola sepak dunia seperti Juventus, Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Manchester United, AC Milan dan banyak lagi.

Sumber: Sinar Harian