Tolak Politik "Cari Makan", "Kejar Jawatan" - Mursyidul Am PAS


ALOR SETAR - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin menegaskan bahawa partinya tidak mempunyai tempat bagi mana-mana individu yang berpolitik hanya semata-mata untuk "cari makan".

Tegas beliau, mereka yang berniat atau mengamalkan budaya berpolitik untuk cari makan itu termasuklah individu yang mengejar jawatan sebagai tujuan dan matlamat perjuangan politiknya.

"Berpolitik kerana cari makan dan PAS elak daripada kita masuk politik kerana cari makan.

"Kalau nawaitu (niat) 'saya kalau masuk ni..menang PAS, saya nak jadi Menteri Besar'.. Kalau orang PAS dengar, tolak terus.. tak layak.. orang (macam) ni tak layak nak bertanding atas tiket PAS.

"Hang bertanding kerana dunia, bukan bertanding kerana Allah... letak terus dah (niat) nak jadi Menteri Besar.. tak boleh," tegas beliau dalam satu wawancara khas bersama media di Kompleks PAS Perlis, Kangar, baru-baru ini.

Namun begitu jelasnya, jika calon PAS itu ditakdirkan Allah SWT menang dalam pilihan raya, maka dia tidak wajar menolak elaun wakil rakyat yang diberikan ekoran ia adalah suatu yang halal di dalam Islam.

"Tapi kalau dah dapat menang (pilihan raya), orang bagi elaun, kita makanlah... Kita ambillah, kita halal bagi kita," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan ramai pemerhati politik sebelum ini mendakwa Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak cuba dijatuhkan pemimpin tertentu bagi membolehkan mereka mengambil alih jawatan Perdana Menteri yang disandang beliau.

Ekoran gagal menjatuhkan Mohd Najib dari dalam parti, pihak berkenaan dikatakan sengaja menjejaskan imej Presiden UMNO berkenaan bagi mencari jalan supaya dipecat dari parti dan kemudian menubuhkan parti baru bagi mengejar cita-cita menjadi Perdana Menteri.

Seorang pemimpin tertinggi sebuah parti baru sebelum ini meluahkan rasa gelisahnya dan mengesa supaya Pakatan Harapan menamakan calon pembangkang bagi jawatan Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya menewaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 nanti. 

Turut difahamkan bahawa parti itu juga telah diberi harapan oleh Pakatan Harapan supaya memujuk PAS supaya bekerjasama dengan gabungan pembangkang itu dengan menggunakan segala pengaruh politik pada pimpinannya. -Kedahnews.com