Tonto Bunuh Pegawai Kastam Lari Ke Negara Jiran


KOTA BHARU – Polis berjaya mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian merempuh kenderaan seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) hingga menyebabkan kematian, Jumaat lalu.

Harian Metro melaporkan, suspek yang berusia 30 tahun itu dipercayai sudah melarikan diri bersama tiga rakannya ke negara jiran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat bagi mengenal pasti semua suspek yang terlibat.

“Kita masih mengenal pasti semua tonto yang terlibat dan usaha mengumpul maklumat diteruskan dari masa ke semasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, semalam.

Beliau menegaskan, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian berkenaan dan menjelaskan ancaman daripada tonto dilihat semakin serius dan perlu diatasi dengan segera.

“Kita percaya mereka yang terbabit dalam kejadian ini sudah bolos ke negara jiran tetapi saki baki anggota kumpulan penyeludup ini akan dikesan,” katanya.

Noor Rashid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi membantu siasatan dan mengenal pasti individu yang terlibat.

Dalam kejadian 1.20 pagi itu, Anisah Ali, 54, yang merupakan pegawai kanan Kastam cawangan Rantau Panjang cedera parah selepas pancuan empat roda yang dinaiki bersama dua rakan dirempuh kenderaan tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, Kelantan.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 11.50 malam, Jumaat lalu selepas mengalami kecederaan dalaman dan komplikasi usus ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab 11, Kota Bharu.

Difahamkan, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tonto membawa barang seludup dipercayai rokok.

Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan forensik polis sedang meneliti kenderaan jenis pacuan empat roda untuk siasatan.

Kes disiasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. –Kedahnews.com