Umat Terbaik Adalah Umat Yang Sihat


BERHIBUR dan berekreasi adalah fitrah semula jadi manusia yang bertujuan menenangkan fikiran, mendamaikan jiwa, merehatkan rohani, sekali gus memberikan kesihatan kepada jasmani.

Realitinya, memang tidak dinafikan bahawa manusia memerlukan aktiviti yang membolehkan mereka aktif dan tidak jumud, dilanda kemurungan serta pasif. Dalam konteks ini, bersukan adalah antara langkah yang dapat memberi kesan positif kepada jasad dan jiwa manusia.

Islam membenarkan semua jenis sukan selagi menepati garis panduan ditetapkan syarak. Malah, Rasulullah SAW pernah bersukan dan menggalakkan umatnya belajar berenang, menunggang kuda dan memanah. Secara logiknya keadaan ini menyumbang kepada lahirnya umat Islam yang kuat fizikal dan sihat untuk mempertahankan agama, bangsa serta negara daripada ancaman musuh.

Bukan itu sahaja, sukan juga adalah medium dakwah yang berkesan dalam menyampaikan mesej Islam kepada orang Islam dan bukan Islam sekali gus mencipta pembangunan sebuah masyarakat sejahtera.

Kita mengakui hakikat bahawa kegagahan tubuh badan menjadi kelebihan kepada mereka yang mementingkan kesihatan kerana ia dapat meningkatkan tahap kekuatan jasmani dan rohani serta meningkatkan tahap kecerdasan pemikiran seseorang. Akal cerdas terletak pada tubuh badan yang sihat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 247:
“Nabi mereka berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.”
FAKTOR KEKUATAN BANGSA

Individu dan masyarakat sihat mampu menghindarkan diri daripada penyakit kronik. Ini semestinya akan meningkatkan kualiti kesejahteraan emosi, mental dan fizikal serta tahap rohani mereka.

Dalam konteks ini, Dasar Sukan Negara 2009 menetapkan hala tuju dasar pembangunan sukan ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan integrasi nasional menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh serta pencapaian cemerlang di peringkat dunia.

Selain untuk memastikan gaya hidup positif, sukan juga merupakan agen perpaduan berkesan bagi segenap lapisan masyarakat.

Malaysia antara negara yang terbukti berjaya menggunakan sukan sebagai platform pengukuhan integrasi nasional yang melangkaui batasan agama, bangsa dan politik.

Malah baru-baru ini, kita meraih kejayaan di Sukan Olimpik dan Paralimpik yang amat membanggakan, hasil kesungguhan atlet dan penyediaan peruntukan tahunan yang besar daripada kerajaan bagi membangunkan program sukan.

Disebabkan hal itu, kita hendaklah menjadikan sukan sebagai satu budaya hidup dengan melibatkan diri dan menyertai program-program sukan tanpa mengira usia dan kedudukan bagi mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah dengan lebih sempurna dan khusyuk.

Sabda Rasulullah SAW:
“Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Nabi SAW bersabda: Orang Mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang Mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” - Riwayat Muslim.
Islam mengharuskan bersukan

Menurut Imam Ibnul-Qayyem, pergerakan ialah asas kepada sukan kerana ia menolong badan membuang sisa makanan dengan cara tabii. Walaupun pada peringkat awalnya agak sukar ibarat menelan ubat yang pahit tetapi ia penawar berkesan bagi menjadikan badan semakin aktif, meningkatkan imuniti badan serta melindunginya daripada serangan penyakit.

Dalam Islam, kebanyakan amal ibadah mengandungi gerakan yang menolong badan mengekalkan kekuatan fizikal apabila diamalkan dengan sempurna seperti solat dan
haji.

Ini membuktikan bahawa penjagaan kesihatan jasmani itu merupakan elemen penting dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera seterusnya menyumbang kepada pemeliharaan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Ini juga selaras dengan  rinsip pensyariatan yang digariskan dengan menjaga lima perkara yang menjadi tunjang kehidupan sejahtera (Maqasid Syariah) iaitu, memelihara agama, jiwa, maruah, harta dan keturunan.

Pada hari ini, sukan bukan hanya sekadar aktiviti masa lapang semata-mata bahkan mempunyai peranan lebih luas. Ini kerana menerusi sukan semangat muhibah, perpaduan dan keharmonian antara individu dapat dijalinkan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan negara. Begitu juga di peringkat antarabangsa, sukan juga boleh mengangkat martabat sesebuah negara.

Mudah-mudahan dengan itu, agenda pembangunan negara dapat diteruskan dan meningkatkan kesedaran rakyat untuk melibatkan diri seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

Sumber: Utusan