UMNO Bantah Cadangan Bina Kasino Di Pulau Pinang


KEPALA BATAS - Umno Kepala Batas menolak sebarang cadangan mana-mana pihak atau sesiapa untuk mewujudkan kasino di negeri ini.

Ketua Umno Bahagaian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata, Umno Bahagian Kepala Batas dalam soal ini menolak sekeras-kerasnya untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang.

"Selagi saya menjadi Ketua Umno Kepala Batas dan Ahli Parlimen Kepala Batas, saya akan pastikan tiada sebuah pun kasino akan wujud di atas bumi Pulau Pinang.

"Cadangan Penang Front Party untuk mewujudkan sebuah kasino di Pulau Pinang sekiranya mereka menang dalam Pilihanraya Umum 14 adalah cadangan yang dangkal dan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan," katanya.

Reezal yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang berkata, perjudian bukan satu budaya rakyat Malaysia khususnya Pulau Pinang.

"Saya yakin dan percaya majoriti rakyat Pulau Pinang yang bukan Islam pun menolak sebarang aktiviti perjudian kerana ia adalah racun yang boleh merosakkan keluarga dan masyarakat," katanya.

Mengulas mengenai pembabitan Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai penasihat Penang Front Party, katanya penglibatan Zahi di atas kapasiti peribadinya sendiri dan tidak mewakili parti Umno.

"Saya ingin menyatakan dengan terang dan jelas bahawa Umno tidak ada sebarang kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan Penang Front Party.

"Pulau Pinang adalah negeri yang kaya dengan produk pelancongan dan Pulau Pinang tidak memerlukan kasino atau pusat-pusat perjudian untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian