Undang-Undang Dana Politik Pupuk Budaya Integriti


KUALA LUMPUR – Cadangan Akta Sumbangan dan Pembiayaan Politik dapat menyediakan platform sesuai untuk mewujudkan sistem pembiayaan politik yang efektif, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Malah, katanya undang-undang yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) itu dapat melengkapi undang-undang lain sedia ada termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya, Akta Pendaftar Pertubuhan dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Sama ada ia satu akta baharu atau pindaan terhadap undang-undang sedia ada, pemantauan terhadap dana atau sumbangan politik hanya dapat dilaksanakan secara efektif apabila keperluan untuk melaporkan sumber pembiayaan politik diwajibkan kepada semua pihak yang terlibat dalam aktiviti politik.

“Jika parti politik gagal mematuhi mana-mana peraturan diperkenalkan itu, objektif untuk memupuk budaya integriti tidak akan berkesan.

“Jadi untuk memastikan ketelusan dalam pembiayaan politik, negara-negara mesti mempunyai perakuan khas,” katanya dalam kenyataan.

Irmohizam yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor berkata pemantauan terhadap pembiayaan politik adalah amat penting untuk menutup semua ruang dan peluang bagi rasuah.

Oleh itu, katanya setiap pembiayaan politik yang disalurkan perlu diaudit dan direkodkan untuk menunjukkan ketelusan parti.

Katanya pembiayaan politik di peringkat pusat dan negeri perlu dimasukkan ke dalam akaun parti untuk meningkatkan ketelusan dan keyakinan orang ramai terhadap parti-parti politik.

“Pewujudan sebuah badan untuk memantau pembiayaan politik bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah dilaksanakan di Amerika Syarikat dan Perancis, yang menetapkan peraturan bahawa setiap sumbangan politik yang disalurkan perlu direkodkan,” katanya.

Irmohizam berkata undang-undang yang dicadangkan itu perlu disokong oleh semua parti.

Cadangan dibuat oleh JKNMPP itu adalah baik, tetapi perlu diperhalusi, katanya. – BERNAMA