UniMAP Sedia Tawar Tempat Kepada Nur Sakinah

KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sedia menawarkan tempat dalam bidang kejuruteraan kepada Nur Shakinah Naim, pelajar Malaysia yang dilaporkan hilang di Rouen, Normandy, Perancis, minggu lepas.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata tawaran itu dibuat kerana UniMAP merupakan universiti yang berteraskan kejuruteraan selain paling hampir dengan kediaman keluarga pelajar itu di Sungai Petani, Kedah.

“Kami amat bersimpati dan terkesan dengan insiden yang berlaku ke atas Nur Shakinah, dan ingin memberi peluang kepada beliau untuk menyambung belajar di UniMAP sekiranya ingin kembali ke tanah air.

“Saya berharap tawaran ini wajar dipertimbangkan dan kami bersedia bertemu Nur Shakinah dan keluarganya sebaik mereka pulang ke tanah air,” kata Zul Azhar dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Nur Shakinah, 19, melanjutkan pengajian di Universitaire de Technologie (IUT), Rouen, Perancis atas tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ialah bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula Jaya, Tikam Batu, Sungai Petani.

Kehilangan pelajar itu sejak Jumaat lepas dilaporkan oleh teman serumahnya, bagaimanapun dia ditemui selamat pada 29 Sept lalu. Difahamkan Nur Shakinah menghilangkan diri kerana tertekan dengan pengajian yang diikutinya.

Zul Azhar berkata UniMAP mempunyai 19 program pengajian dalam bidang kejuruteraan dan Nur Shakinah boleh memilih bidang yang diminatinya.

Katanya Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses UniMAP menawarkan pengajian Kejuruteraan Bioproses dan Kejuruteraan Biosistem. Kejuruteraan Bioproses hampir dengan program Kejuruteraan Kimia yang diikuti Nur Shakinah di UIT.

Kedua-dua program kejuruteraan kimia itu diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia. Lulusan program ini boleh berkhidmat sebagai Jurutera Kimia di sektor awam dan swasta, kata Zul Azhar.

Zul Azhar berkata selain kejuruteraan bioproses, UniMAP juga menawarkan program pengajian dalam bidang elektronik, sistem elektrik, mekatronik, mekanikal, mikroelektronik, pembuatan, bahan dan komputer.

“Kurikulum pendidikan UniMAP selari dengan kehendak industri. Kebolehpasaran graduan kami mencecah 90 peratus serta diberi taraf lima bintang dalam aspek pengajaran dan pembelajaran dan kemudahan prasarana pengajian berdasarkan QS Star,” katanya. – BERNAMA