Usul PAN Lebih Lengkap Dari RUU PAS: Mursyidul Am PAS Enggan Ulas


ALOR SETAR - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin enggan memberi sebarang ulasan mengenai usul memartabatkan memperkasakan mahkamah syariah yang akan dibuat Parti Amanah Negara (PAN).

Menurut pembantu peribadi beliau, Mursyidul Am PAS itu menjelaskan bahawa beliau masih belum mahu membuat sebarang kenyataan mengenai hal tersebut buat masa ini.

"Saya dah maklumkan kepada Tuan Guru (Ustaz Hashim), buat masa la (sekarang) ni beliau taknak ulas apa-apa lagi buat masa ini...dia kata 'cemuih' aih dengaq PAN ni dia kata," kata pembantu peribadi beliau ketika dihubungi Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad dalam satu kenyataan semalam mendakwa usul yang dikemukakan parti barunya itu adalah lebih lengkap berbanding usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Usul kita untuk pemerkasaan mahkamah syariah. Usul dia (Hadi) pula untuk meminda RUU Akta 355 supaya mahkamah syariah dapat diperkasakan.

"Ia jelas berbeza dengan pendekatan kita. Banyak yang kita perlu lakukan untuk pemerkasaan syariah. Tentang RUU Akta 355, kita akan kaji," katanya semalam, memetik FMT.

Dalam usul dikemukakan PAN, antara cadangannya ialah pembentukan majlis merangkumi pakar agama dan undang-undang bagi membincangkan kaedah terbaik memperkasa mahkamah syariah.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud menyerahkan usul itu minggu lalu dan sepatutnya dimasukkan dalam kertas aturan Parlimen minggu depan. -Kedahnews.com