Wanita UMNO Kedah Sangkal Impian Muhyiddin


ALOR SETAR - Wanita UMNO Kedah menyangkal keyakinan tanpa asas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang baru-baru ini mendakwa Barisan Nasional (BN) akan tewas di Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

Ketuanya, Dato' Sharifah Maznah Syed Kassim menegaskan bahawa keyakinan Muhyiddin itu hanya dilihat dari sudut menyedapkan hati partinya sendiri sedangkan realitinya tidak seperti yang beliau jangkakan.

"Itu keyakinan dia. Tapi kita pun berusaha dan yakin akan dapat mempertahankan Kerajaan BN Negeri Kedah, habaq (beritahu) kat dia (Muhyiddin), belum tentu lagi dia boleh menang di sini.

"Tubuhlah parti apa pun, tapi dia perlu akui bahawa UMNO tetap ada kekuatan yang tersendiri, tegas beliau mengulas tentang kenyataan Muhyiddin yang mendakwa akan menawan Kedah pada pilihan raya nanti.

Kata Sharifah Maznah, Wanita UMNO Kedah kini berada di tahap 70% melakukan persiapan bagi menghadapi PRU ke-14 dan mempunyai "senjata rahsia" yang masih sengaja disimpan untuk digunakan apabila tiba masanya kelak.

"Wanita UMNO Kedah kita tetap mempertahankan Kerajaan BN Negeri Kedah.

"Hingga ke hari ni kita dah 70% bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya. Tak semudah itu untuk merampas Kedah dari BN.

"Kita pun ada strategi kita sendiri, tapi rahsialah. Mana boleh habaq (beritahu) dia (Muhyiddin). Kita takdak masalah.. Kita akan terus mara. Kita masih ada kekuatan di Kedah," jelasnya kepada Kedahnews.com ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhyiddin dalam satu kenyataan baru-baru ini mendakwa BN akan tewas di Kedah pada PRU ke-14 nanti.

Kenyataan tersebut telah mencetus pelbagai reaksi sinis dari pelbagai pihak di Kedah yang menyifatkan dakwaan Muhyiddin itu sebagai angkuh, tanpa mengambil kira realiti yang sebenar dan mungkin hanya berpandukan pada jumlah "like" di media sosial. -Kedahnews.com