Warga Emas Melecur 70 Peratus Dalam Kebakaran Di Jitra

Gambar Hiasan
JITRA - Seorang warga emas melecur 70 peratus selepas ruang tamu rumahnya di Kampung Belukar, Tanjung Pauh di sini terbakar pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, Jamal Abdul Nasir Mohd Nayan, 59, berada di dalam rumah bersama dua orang cucu lelakinya yang berumur tiga dan empat tahun.

Anak mangsa Mohd Sobri Jamal, 31, berkata, dia sedang bekerja di kilang barangan terpakai yang terletak di sebelah rumahnya sebelum menyedari kepulan asap dari arah rumahnya.

"Menyedari api semakin marak, saya terus bergegas ke rumah dan menemui anak  saya Muhamad Naqif, 4, sedang menangis di luar rumah. Saya kemudian berlari ke belakang rumah untuk mencari ayah saya dan seorang lagi anak saya Muhamad Nafis, 3.

"Mereka didapati berada di bahagian dapur dan ayah saya tersembam di tepi peti ais," katanya.

Mohd Sobri berkata, dia meminta bantuan daripada bapa saudaranya yang juga tinggal berdekatan untuk membantu menyelamatkan bapanya yang melecur teruk dari paras paha hingga badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Sufian Hassan berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada pukul 10.20 pagi mendapati api sedang marak semasa pihak bomba sampai dan dapat mengawal kebakaran lapan minit kemudian.

Mangsa tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. - Bernama