4,000 Hadiri Majlis Persandingan Muhammad Ziyad, Zafirah


KUALA LUMPUR - Majlis resepsi persandingan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Muhammad Ziyad Zolkefi dan isterinya, Zafirah Md Nasir pada Ahad berlangsung meriah di sebuah hotel di sini dengan kehadiran kira-kira 4,000 tetamu.

Pasangan yang menge­nakan persalinan songket berwarna biru tiba di Dewan Bunga Raya di hotel tersebut kira-kira pukul 1.30 petang.

Kedua-dua mempelai yang kelihatan sama segak sama cantik diarak masuk masuk ke dalam dewan dengan paluan kompang.

Majlis resepsi tersebut turut dimulakan dengan bacaan selawat sebelum pasangan mempelai diraikan dalam suasana yang cukup indah.

Majlis persandingan pasangan tersebut turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Selain itu dua pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Mohamad Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly yang juga rakan rapat Ziyad juga hadir menyerikan majlis.

Pada 11 November lalu, Ziyad selamat bergelar suami dengan tiga kali lafaz kepada Zafirah, kira-kira pukul 9.32 malam Jumaat.

Pasangan tersebut dinikahkan bapa Zafirah iaitu Md Nasir Abd Wahab dalam sebuah majlis pernikahan serba sederhana di kediaman perempuan di Nilai, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Ziyad, 26, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3,000 berserta seutas gelang emas dan wang hantaran RM11,000 kepada Zafirah atau lebih mesra di sapa Fira.

Atlet lontar peluru itu ketika ditemui menarik nafas lega apabila semua majlis hari bahagianya dan isteri berlangsung dalam keadaan penuh meriah dan lancar.

"Alhamdulillah selesai sudah majlis kami. Terima kasih di atas semua ucapan dan doa. Saya berharap agar hubungan kami suami isteri sentiasa dalam rahmat-Nya dan kekal sehingga ke akhir hayat," katanya.

Sumber: mStar